Buat sekian lama Malaysia telah mengambil banyak langkah bagi melindungi golongan kanak – kanak.
Terbaru, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) memperkenalkan dua kod baharu di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) bagi memperkukuh perlindungan kanak – kanak serta pengguna rentan dalam persekitaran digital yang berkuat kuasa 1 Jun 2026 yang lalu.
Kod Perlindungan Kanak – kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC) diperkenalkan susulan sesi libat urus bersama pemain industri, organisasi masyarakat sivil serta pihak berkepentingan, termasuk rundingan awam dari 12 Februari hingga 31 Mac yang lalu.
SKMM berkata, CPC memfokuskan pengalaman dalam talian yang lebih selamat dan bersesuaian mengikut umur, termasuk mewajibkan prinsip safety by design atau keselamatan melalui binaan dalam perkhidmatan mereka.
Namun, usaha juga harus diambil bagi melindungi golongan kanak – kanak daripada menjadi mangsa kepada kempen politik yang melampau daripada mana – mana pihak.
Pada 2019 , kerajaan bersetuju melaksanakan Rang Undang –Undang Undi 18 (RUU Undi 18) yang menurunkan had usia mengundi dalam negara kita dari usia 21 kepada 18 tahun.
Dengan kuat kuasanya RUU Undi 18 ini dalam negara kita, mereka yang sudah mencapai had usia dewasa 18 tahun boleh melibatkan diri mereka untuk menentukan nasib perjalanan negara ini dari sudut politik dan pentadbiran.
Penglibatan golongan muda dalam proses mengundi ini juga diyakini dapat memperkuatkan lagi sistem demokrasi dalam negara kita.
Orang muda harus diiktiraf sebagai golongan yang boleh memilih masa hadapan dan hala tuju sistem pemerintahan negara. Hampir semua negara di seluruh dunia telah mengiktiraf hak mengundi ini kepada orang muda di negara masing – masing.
Pada tahun 2019, Malaysia telah bersuara dan mengikut jejak langkah kebanyakan negara demokrasi dalam dunia.
Namun, semua pihak juga harus bersiap sedia hadapi impak penurunan had usia mengundi ini.
Susulan pindaan terhadap Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan yang menurunkan had usia mengundi daripada 21 tahun ke 18 tahun, ahli politik perlu mengelakkan diri mereka daripada melakukan sebarang jenis kempen politik yang melampau terhadap golongan yang berada di bawah usia 18 tahun yang rata – ratanya masih bersekolah.
Adalah menjadi satu kebimbangan dengan turunnya had usia mengundi ke 18 tahun, ahli – ahli politik serta parti politik yang tidak bertanggungjawab akan mula melakukan proses kempen politik melampau mereka kepada golongan yang berada di bawah usia sebagai langkah awal untuk mereka berkempen bagi hadapi proses pilihan raya. –UTUSAN
Profesor Madya Dr. Muzaffar Syah Mallow, Fakulti Syariah & Undang – Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)










