BALIK PULAU: Dua nelayan warga Indonesia berdepan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine dan cecair methamphetamine di perairan Teluk Kumbar di sini, kira-kira dua minggu lalu.
Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh iaitu Junaidi, 51, dan Irfansyah, 30, semasa pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Chia Huey Ting kerana kes tersebut berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan pertama, kedua-duanya didakwa secara bersama mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 113.77 kilogram (kg) pada kedudukan GPS Latitud 05 Darjah 07.045 Utara dan Longitud 100 Darjah 14.063 Timur di kawasan perairan Teluk Kumbar, dalam daerah Barat Daya, Pulau Pinang, kira-kira pukul 7.15 petang, 17 Julai lalu.
Sementara itu, bagi pertuduhan kedua pula, mereka didakwa mengedar dadah berbahaya jenis cecair methamphetamine seberat 33.412 kg di lokasi, tarikh dan masa yang sama seperti pertuduhan awal.
Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. Sabit kesalahan, mereka boleh digantung sampai mati atau dipenjara seumur hidup dan jika tidak dijatuhi hukuman mati, hendaklah dikenakan tidak kurang daripada 12 sebatan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Sofi Jafar manakala kedua-dua tertuduh pula diwakili peguam, Datuk Naran Singh.
Semasa prosiding, Mohamad Sofi memaklumkan kepada mahkamah bahawa laporan kimia berhubung rampasan dadah itu masih belum siap dan beliau memohon supaya satu tarikh baharu diberi untuk sebutan semula kes. Permohonan itu bagaimanapun tidak mendapat membantah daripada peguam bela tertuduh.
Mahkamah kemudian menetapkan 30 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia disiapkan tanpa sebarang pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh.
Difahamkan, kedua-dua tertuduh merupakan nelayan yang berasal dari Aceh, Indonesia, dengan Junaidi memiliki pasport manakala Irfansyah pula tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah.
Sindiket penyeludupan dadah antarabangsa yang menggunakan laluan laut untuk membawa bekalan dadah dari Malaysia ke Indonesia itu sebelum ini tumpas apabila dua ‘transporter’ warga Indonesia ditahan bersama dadah dan cecair vape mengandungi methamphetamine bernilai hampir RM6 juta di perairan selatan Pulau Rimau pada 17 Julai lalu.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri dilaporkan berkata, kedua-dua suspek ditahan selepas bot fiber yang dinaiki mereka berjaya dipintas oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu Pulau Pinang selepas dikejar sejauh kira-kira tujuh batu nautika di kawasan perairan berkenaan.-UTUSAN










