PASIR MAS: Kerajaan Kelantan akan membawa semula pindaan terhadap 16 seksyen Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 (EKJS) yang dibatalkan Mahkamah Persekutuan tahun lalu untuk diluluskan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), dalam masa terdekat.
Menteri Besar, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud berkata, cadangan pindaan terhadap semua 16 seksyen berkenaan telah mendapat kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan kini hanya menunggu dibentangkan di DUN.
“Di peringkat Exco, ia (pindaan 16 seksyen EKJS 2019) sudah diluluskan dan kita akan bawa semula dalam sidang DUN dalam masa terdekat. Ini kerana perjuangan kita adalah perjuangan yang benar.
“Dalam persidangan DUN, kita akan meluluskan kembali undang-undang syariah Islam yang sebelum ini dibatalkan bab takzir,” katanya semasa berucap pada Mesyuarat Agung Pas Kawasan Pasir Mas yang dirasmikan Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man di Meranti, di sini hari ini.
Pada Mac tahun lalu, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 sebagai terbatal dan tidak sah selepas memutuskan Dewan Undangan Negeri Kelantan telah menggubal peruntukan yang berada di luar bidang kuasa perundangannya.
Keputusan itu dibuat panel lapan hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara ketika itu, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, selepas membenarkan petisyen yang difailkan peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman.
Dalam penghakiman panel tersebut, Tengku Maimun berkata, petisyen berkenaan dibenarkan kerana Dewan Undangan Negeri telah menggubal undang-undang bagi perkara yang tidak mempunyai kuasa untuk digubal mengikut Perlembagaan Persekutuan. – UTUSAN










