KUANTAN: Mahkamah Majistret di sini, hari ini menjatuhkan hukuman denda RM11,000 terhadap dua lelaki atas pertuduhan memiliki kad pengenalan atau MyKad milik individu lain.
Majistret Tengku Aliana Tuan Kamaruzaman memerintahkan Muhammad Al-Mujib Arman, 23, dan Shaleh Sintam, 45, membayar denda masing-masing RM5,000 dan RM6,000. Mahkamah turut memerintahkan mereka menjalani hukuman penjara masing-masing tujuh dan lapan bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Berdasarkan pertuduhan yang dibacakan secara berasingan, Muhammad Al-Mujib dan Shaleh didakwa memiliki kad pengenalan bukan miliknya sebagai dokumen pengenalan diri ketika operasi yang dijalankan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Kampung Pantai Balok, di sini antara pukul 12.30 pagi dan 3.30 pagi, 3 Julai lalu.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Peraturan 25(1)(o) Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang boleh dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JPN Fakrol Anuar Sani manakala Muhammad Al-Mujib dan Shaleh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Pada prosiding itu, Fahkrol Anuar memohon hukuman yang berat dan setimpal dikenakan terhadap kedua-dua tertuduh sebagai pengajaran supaya tidak sewenang-wenangnya memiliki kad pengenalan milik individu lain.
Terdahulu, peguam memohon hukuman denda kerana Muhammad Al-Mujib yang tidak bekerja dan kini tanggung ibu yang bekerja kilang dengan pendapatan RM1,000 sebulan. Shaleh yang juga bapa tunggal pula bekerja sebagai buruh dengan pendapatan RM1,500 sebulan. – UTUSAN










