KUALA NERUS: Usaha menaikkan bot yang tenggelam dan meragut satu nyawa di perairan berdekatan Tok Jembal, di sini Jumaat lalu mengambil masa dua hari sebelum dapat diapungkan dan dibawa pulang, kelmarin.
Bot yang karam itu dibawa ke Jeti Kampung Batin di sini, dengan kerjasama komuniti nelayan dan penyelam berpengalaman.
Penyelam berpengalaman, Mohd. Amirul Mat Noh, 42, berkata, pihaknya berdepan cabaran mengesan bot yang berada di kedalaman 24 meter di perairan berdekatan Tok Jembal, iaitu lima nautika dari Kuala Terengganu.
Katanya, lokasi bot itu dikesan berdasarkan tali sauh kerana pada malam kejadian, ia sempat dilepaskan.
“Penggunaan alat pengesan dapat menemukan lokasi tepat bot ini. Tugas paling mencabar adalah mengapungkan semula bot yang karam di dasar laut dalam kerana menuntut ketahanan mental yang tinggi. Kami memerlukan masa dua hari untuk melakukannya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Mohd. Amirul yang menyelam bersama penyelam kedua, Zuwal Mazali berkata, pengiraan fizik yang tepat diperlukan untuk memasang 20 tong drum pada bangkai bot di dalam dasar laut.
“Sebarang kesilapan kecil boleh mengancam nyawa penyelam akibat tekanan air tinggi atau struktur bot yang beralih,” katanya sambil menambah kejayaan misi itu hasil kerjasama nelayan.
Abang kepada pemilik bot, Nur Abdul Aziz Saari berkata, insiden itu meninggalkan kesan mendalam kepada adiknya yang juga tekong bot, Mohd. Awais apabila sepupu mereka, Ahmad Nasarudin Mohamad Jalil terkorban.
Bot membawa 12 individu terdiri daripada 10 pelanggan yang menyertai aktiviti mencandat sotong dipercayai pecah pada bahagian badan sebelum dimasuki air dan karam.
Semua mangsa terapung di permukaan laut selama kira-kira sejam sebelum diselamatkan pasukan keselamatan.-UTUSAN










