KUANTAN: Dua beradik yang bangkit daripada episod hitam kehilangan kaki akibat kemalangan jalan raya dengan mengusahakan perniagaan Cendol Meleleh di Kampung Lebak, Temerloh, dekat sini terus menerima pelbagai bentuk bantuan daripada agensi kerajaan bagi membantu mereka meneruskan kehidupan.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Dr. Asmadi Abdul Rahman berkata, pihaknya mula membantu Nik Haznita Safiyya Nik Husmadi, 21, dan adiknya, Nik Haziera Safiyya, 19, sejak awal kejadian kemalangan yang dilalui oleh dua beradik itu.
Katanya, MUIP meluluskan bantuan dua kaki palsu hidrolik bernilai keseluruhan RM57,000 termasuk latihan penggunaan kaki tersebut selepas menerima permohonan keluarga berkenaan pada awal Julai 2025.
“Selain bantuan kaki palsu, MUIP menyalurkan bantuan one-off dan bantuan bulanan bagi keperluan harian keluarga mereka sehingga Jun lalu dengan jumlah keseluruhan RM6,500.
“Kami berusaha membantu mereka meningkatkan kualiti hidup, lebih-lebih lagi mereka masih muda dan mempunyai masa hadapan yang panjang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini, semalam.
Beliau berkata, Nik Haziera Safiyya dan Nik Haznita Safiyya adalah penerima bantuan kaki palsu ke-13 dan ke-14 yang diluluskan MUIP pada tahun berkenaan.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang, Khairul Amri Ahmad berkata, dua beradik itu merupakan penerima Skim Bantuan Orang Kurang Upaya (OKU) Terlantar sebanyak RM500 seorang setiap bulan sejak Mei 2024.
Bagaimanapun, katanya, memandangkan kedua-duanya kini tidak lagi terlantar dan mampu berdikari menerusi perniagaan yang diusahakan, skim bantuan tersebut ditukar kepada Elaun Pekerja
Orang Kurang Upaya (EPOKU) sebanyak RM450 seorang sebulan bermula bulan hadapan.
“Perubahan skim bantuan itu dibuat sebagai galakan supaya mereka terus bekerja serta mengembangkan perniagaan Cendol Meleleh yang kini mendapat sambutan orang ramai,” katanya.
Menurut beliau, JKM sebelum ini turut menyumbangkan kerusi roda kepada kedua-dua beradik berkenaan pada 2024.-UTUSAN










