PETALING JAYA: DENZA Malaysia memperkenalkan DENZA Z9GT pada harga bermula RM358,800 menandakan penampilan sulungnya di Asia Pasifik yang sekali gus membuka era baharu dalam segmen Grand Tourer mewah pintar untuk pasaran Malaysia.
Pengarah Urusan BYD Malaysia, Jacob Ma berkata, pelanggan hari ini tidak lagi mentakrifkan kemewahan semata-mata melalui lencana legasi atau bahan premium, sebaliknya mencari teknologi pintar yang dapat meningkatkan pengalaman kehidupan seharian serta memberikan nilai yang lebih bermakna.
“Melalui DENZA Z9GT, kami mentakrifkan semula mobiliti mewah dengan menggabungkan kecerdasan, prestasi dan inovasi secara lancar untuk memenuhi keperluan pelanggan masa kini.
“Sebagai model pertama yang dilengkapi dengan Bateri Blade Generasi Kedua BYD, DENZA Z9GT menawarkan tahap keselamatan yang lebih tinggi, jarak pemanduan yang lebih jauh serta keupayaan pengecasan ultra pantas, memberikan kemudahan dan keyakinan lebih besar kepada para pelanggan kami,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Naib Presiden BYD dan Pengurus Besar Bahagian Jualan Auto BYD Asia Pasifik, Liu Xueliang berkata, BYD terus melabur dalam bidang inovasi, disokong oleh pasukan global yang terdiri daripada lebih 123,000 jurutera penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang berdedikasi untuk memajukan teknologi kenderaan tenaga baharu.
Katanya, inovasi teknologi kekal menjadi sebahagian daripada DNA BYD, memacu usaha syarikat dalam membangunkan penyelesaian mobiliti yang lebih selamat, pintar dan cekap.
Berpandukan falsafah ‘Technology Drives Elegance’, DENZA Z9GT menggabungkan kejuruteraan termaju, prestasi mengujakan serta kemasan berkualiti tinggi yang diperhalusi, mentakrifkan semula pengalaman grand touring elektrik mewah untuk era baharu.
Dicipta dengan kemewahan yang terserlah dari dalam hingga ke luar, DENZA Z9GT dibina berasaskan e3 Platform revolusioner BYD dan dikuasakan oleh BYD Blade Batteri Generasi Kedua, menawarkan tahap prestasi, kecerdasan serta kecekapan yang dipertingkatkan.
Sebagai antara model DENZA terawal yang direka untuk menyokong Teknologi Pengecasan Kilat BYD, DENZA Z9GT membawa pengalaman mobiliti mewah elektrik ke tahap seterusnya dengan menggabungkan teknologi termaju dan kemudahan penggunaan harian.
Model tersebut dilengkapi sistem pacuan semua roda tri-motor yang menghasilkan kuasa sehingga 850 kilowatt (kW) (1,156 PS) dan tork 1,210 Nm, Z9GT mampu memecut dari 0 hingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam hanya 2.7 saat, sambil menawarkan jarak pemanduan elektrik tulen sehingga 701 km (NEDC).
DENZA Z9GT tersedia dalam dua pilihan warna luaran, Rime Gold dan Obsidian Black, dengan pilihan kemasan dalaman yang direka untuk melengkapi setiap karakter luaran.
“Pilihan warna luaran Rime Gold boleh dipadankan dengan pilihan dalaman Dark Chocolate dan Perg Beige atau dalaman serba hitam yang menampilkan tempat duduk suede dengan jahitan kuning.
“Sementara itu, pilihan warna luaran Obsidian Black pula boleh dipadankan dengan pilihan dalaman Dark Chocolate dan Red Velvet, Dark Chocolate dan Perg Beige atau dalaman serba hitam yang menampilkan tempat duduk suede dengan jahitan kuning,” jelasnya. –UTUSAN










