DAP semakin bimbang dengan kerjasama BN-PN

DAP semakin bimbang dengan kerjasama BN-PN

AHMAD FADHLI SHAARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: DAP didakwa semakin tidak senang dengan kerjasama yang terjalin antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, pemimpin DAP mula sedar bahawa rakyat benar-benar menerjemahkan penyatuan ummah di atas kertas undi sehingga memberi bayangan Pakatan Harapan (PH) bakal tersungkur teruk dalam PRN Negeri Sembilan.

Menurut beliau, ketika ini trend pengundian masyarakat Cina terhadap DAP semakin menurun dan ia jelas kelihatan dalam siri pilihan raya sebelum ini termasuk di Sabah di mana parti itu gagal mempertahankan walaupun satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Di Johor yang baru sahaja berakhir minggu lalu pula menyaksikan mereka kehilangan undi dan sokongan teras. Trend penurunan sokongan ini tidak mustahil akan berulang di Negeri Sembilan.

“Keadaan ini sudah cukup untuk membimbangkan DAP, kerusi selamat sedia ada pun mungkin sudah tidak lagi stabil. Apabila koalisi penyatuan ummah dibentuk, maka gelombang penolakan terhadap DAP akan semakin membarah dan kuat,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.

Ahmad Fadhli berkata, 14 kerusi dimenangi UMNO, tiga kerusi disandang Pas dan dua DUN iaitu Gemenceh serta Gemas yang dimenangi pada PRN Negeri Sembilan lalu mempunyai harapan tinggi untuk dimenangi semula, menjadikan keseluruhan 19 kerusi.

“Empat lagi DUN pula berada dalam situasi terbuka dan berpotensi untuk dimenangi oleh BN mahupun PN kerana mempunyai majoriti Melayu yang tinggi. Antaranya DUN Klawang dan Sikamat yang ditandingi Parti Wawasan Negara (Wawasan), DUN Ampangan yang ditandingi Pas serta DUN Pilah yang ditandingi UMNO.

“Oleh yang demikian, sasaran 23 kerusi adalah sasaran yang realistik. Bahkan, mereka tidak sepatutnya mengaitkan bersama impaknya terhadap MCA kerana PRN Johor telah membuktikan kerusi yang dimenangi oleh MCA meningkat sekali ganda,” katanya

Katanya, perkara itu menyebabkan DAP bimbang dengan penyatuan ummah hingga didakwa berusaha memecahkan kerjasama itu dengan pelbagai naratif palsu.

“Bahkan mereka juga sanggup menabur fitnah mengaitkan gagasan penting ini dengan sikap perkauman dan rasisme.

“Walhal mereka semua tahu semua itu sekadar fitnah. Mereka membina ketakutan terhadap bayang-bayang sendiri selain menyuburkan Islamophobia terhadap golongan bukan Islam untuk terus menjarakkan mereka dengan gagasan penyatuan ummah.

“Itulah perangai sebenar DAP. Rakyat Negeri Sembilan tidak akan termakan dengan fitnah yang ditabur, bahkan gagasan ini disambut oleh seluruh rakyat untuk menjadi senjata yang ampuh menghumbankan PH,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN