Daiyan Trisha pakai koleksi baju kurung lama ibu dalam Anom Suraya - Utusan Malaysia

Daiyan Trisha pakai koleksi baju kurung lama ibu dalam Anom Suraya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi, Daiyan Trisha mendedahkan sebahagian besar busana baju kurung yang digayakannya dalam drama Anom Suraya merupakan koleksi peribadi milik ibunya, Dr. Samsiah Mohd. Nor.

Menurut Daiyan atau Daiyan Trisha Mohd. Nasaruddin, 33, baju kurung tersebut dijahit sendiri oleh ibunya dan disimpan rapi sejak puluhan tahun lalu.

“Saya tahu ramai memuji baju kurung yang saya pakai. Sebenarnya, itu ialah baju-baju ibu ketika usianya belasan tahun hingga awal 20-an.

“Bukan semuanya baju ibu, tetapi kebanyakannya seperti yang berwarna oren, kuning dan beberapa rekaan klasik. Memang cantik, cuma agak panas dipakai,” katanya sambil ketawa ketika ditemui Utusan Malaysia di Balai Berita, Bangsar, baru-baru ini.

Mengulas mengenai watak Anom Suraya yang diadaptasi daripada novel hasil nukilan ibunya sendiri, Daiyan menyifatkan peluang tersebut sebagai rezeki yang tidak pernah disangka.

Katanya, ini juga merupakan kali pertama dia berpeluang membintangi karya adaptasi selepas beberapa projek terdahulu terpaksa ditolak berikutan kekangan jadual.

“Ini satu rezeki yang tidak disangka-sangka. Sepanjang karier, saya tidak pernah terfikir akan melakonkan watak daripada novel nukilan ibu sendiri.

“Saya anggap ini satu ketentuan yang sangat istimewa untuk kami berdua. Sudah lama saya mahu berlakon dalam naskhah adaptasi, tetapi sering berdepan halangan seperti jadual bertindih dan sebagainya.

“Tidak sangka, karya adaptasi pertama yang saya lakonkan rupa-rupanya berdasarkan novel ibu sendiri,” katanya.

Sementara itu, Dr. Samsiah turut mengimbau kenangan menghasilkan novel Anom Suraya pada tahun 1991 yang ditulis sebagai kritikan terhadap budaya patriarki yang masih kuat dalam masyarakat ketika itu.

“Saya mula menulis pada Julai dan menyiapkannya pada Ogos 1991. Ketika bergelut menyiapkan bab-bab terakhir, saya sebenarnya sedang menunggu kelahiran anak sulung pada Disember tahun yang sama.

“Saya menulis berdasarkan pengalaman membesar dalam budaya patriarki yang kuat di Kuantan, Pahang sekitar 1960-an dan 1970-an. Kekangan terhadap seorang gadis kampung pada waktu itu sangat ketat sehingga mahu menunggang basikal pun perlu memakai baju kurung,” katanya.

Dalam perkembangan sama, kejayaan adaptasi Anom Suraya turut membakar semangat Dr. Samsiah untuk kembali berkarya. Beliau mendedahkan kini sedang berada pada fasa akhir menyiapkan sekuel novel tersebut yang berjudul Anom Suraya 2.

“Insya-Allah, novel sambungan ini sudah siap kira-kira 85 peratus. Saya masih mengekalkan gaya bahasa yang sama seperti naskhah pertama.

“Walaupun dunia kini semakin menuju era digital, kepuasan memegang naskhah fizikal dengan aroma kertas tetap tiada galang gantinya,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN