KOTA BHARU: Cubaan tiga lelaki warga Rohingya melarikan diri daripada pemeriksaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) gagal, selepas ditahan kerana menggunakan kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) palsu dalam Op Mega di sini, hari ini.
Ketiga-tiga lelaki berusia antara 30 hingga 40-an itu adalah antara 20 pendatang asing lelaki yang ditahan atas pelbagai kesalahan dalam operasi bersepadu melibatkan JIM, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) yang bermula pukul 9 pagi.
Pengarah JIM Kelantan, Garry Belayong John Siki berkata, sebelum ditahan, tiga lelaki terbabit datang menaiki sebuah kenderaan untuk membeli-belah di kawasan sekitar stesen bas di sini.
Katanya, anggota operasi mengesan ketiga-tiga suspek dalam keadaan mencurigakan ketika berjalan sebelum mereka cuba melarikan diri.
“Bagaimanapun, cubaan mereka gagal dan semakan menggunakan aplikasi khas mendapati kad UNHCR yang digunakan adalah palsu apabila gambar serta nama yang dipaparkan bukan milik mereka.
“Mereka mendakwa memperoleh kad tersebut daripada seseorang dan datang ke negara ini untuk bekerja. Ketiga-tiga mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Dalam operasi itu, seramai 362 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Nepal, Kemboja, Indonesia, Pakistan, Myanmar, Bangladesh dan Rohingya termasuk wanita serta kanak-kanak berusia antara dua tahun hingga 60 tahun diperiksa. – UTUSAN










