TAMPIN: Campur tangan politik dalam pengurusan Felda menyebabkan agensi yang menjadi tempat bernaung lebih 100,000 keluarga peneroka itu dibebani hutang mencecah RM10 bilion.
Akibatnya Kerajaan Persekutuan kini menanggung pembayaran kira-kira RM980 juta setahun bagi melunaskan kos perkhidmatan hutang agensi berkenaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Felda pernah muncul sebagai organisasi perladangan terbesar di dunia yang menjana keuntungan berbilion ringgit setiap tahun.
Katanya, Felda mencapai zaman kegemilangannya ketika diterajui Allahyarham Tun Raja Muhammad Alias Raja Muhammad Ali dan Allahyarham Tan Sri Taib Andak yang dilantik oleh Perdana Menteri Kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.
“Saya mengambil tanggungjawab menguruskan Felda ketika agensi itu dibebani hutang hampir RM10 bilion.
“Ini bukan soal politik, tetapi hakikat yang berlaku,” katanya ketika berucap pada Program Semarak Kenegaraan di Kem Syed Sirajuddin di sini, semalam.
Pada 7 Julai lalu, sempena Ulang Tahun Ke-70 Felda, kerajaan mengumumkan tujuh insentif khas merangkumi manfaat kewangan, perumahan, pendidikan, kesihatan, literasi digital dan kebajikan warga peneroka serta petugas agensi berkenaan.
Antara insentif itu, kerajaan menyediakan geran RM990 juta bagi membiayai bayaran balik pinjaman sukuk termasuklah penghapusan hutang peneroka.
Perdana Menteri berkata, pengurusan yang cekap ketika zaman awal penubuhan membolehkan Felda menjadi organisasi perladangan terbesar dunia yang memberi manfaat kepada peneroka dan keluarga mereka.
Anwar berkata, keadaan mula berubah kira-kira tujuh atau lapan tahun lalu, susulan pertukaran kepemimpinan dan campur tangan politik berlebihan sehingga mengalami kerugian.
“Orang bertanya ke mana perginya wang itu. Hari ini kerajaan membayar kira-kira RM980 juta setahun hanya untuk membayar perkhidmatan hutang Felda,”katanya.
Beliau menegaskan, kemelut kewangan Felda bukan berpunca daripada peneroka, sebaliknya kegagalan pihak yang diberi amanah untuk mengurus.
“Kita perlu tanya apa yang silap. Adakah kerana peneroka tidak bekerja kuat? Tidak. Masalahnya ialah mereka yang diberi amanah untuk menguruskan organisasi itu telah mengkhianati amanah tersebut,” katanya. – UTUSAN










