Calon Bersatu DUN Labu selamatkan dua beradik lari rumah

Calon Bersatu DUN Labu selamatkan dua beradik lari rumah

MOHAMAD HANIFAH menasihatkan dua beradik lelaki yang melarikan diri dari rumah sejauh 20 kilometer ketika berkempen di Taman Gadong Jaya, Labu, di sini hari ini. -UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Tindakan pantas calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Labu, Mohamad Hanifah Abu Baker menghubungi pihak polis berjaya menyelamatkan dua beradik yang dipercayai melarikan diri dari rumah dengan berjalan kaki sejauh hampir 20 kilometer (km).

Mohamad Hanifah berkata, kejadian itu berlaku ketika beliau sedang berkempen di sekitar Taman Gadong Jaya, sebelum dimaklumkan oleh petugas kempennya mengenai penemuan dua kanak-kanak lelaki di Masjid Kampung Gadong.

“Seorang petugas maklumkan terdapat dua kanak-kanak lelaki berusia dalam lingkungan sembilan dan 10 tahun yang mengaku keluar dari rumah mereka di Taman Sri Aman sejak pukul 6 pagi.

“Mereka ditemukan kira-kira pukul 10 pagi di Masjid Kampung Gadong dalam keadaan selamat dengan membawa beg serta bekalan makanan dan minuman.

“Apabila ditanya, mereka beritahu bertindak keluar dari rumah kerana merajuk dengan bapa mereka yang dikatakan memecahkan telefon bimbit dan tidak menggantikannya dengan telefon baharu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Taman Gadong Jaya, di sini hari ini.

Mohamad Hanifah yang juga Ketua Pembangkang Negeri Sembilan itu memaklumkan beliau segera menghentikan sementara aktiviti kempen bagi memastikan keselamatan kedua-dua beradik itu terjamin sementara menunggu ketibaan pihak polis.

“Saya menasihati mereka supaya jangan mengulangi lagi tindakan seperti ini kerana boleh membahayakan keselamatan diri. Alhamdulillah, anggota dari Balai Polis Labu bertindak pantas dan membantu menyelesaikan perkara ini sebelum kedua-dua mereka diserahkan semula kepada keluarga,” katanya.

DUN Labu menyaksikan persaingan tiga penjuru, Mohamad Hanifah berdepan dua pencabar terdiri daripada calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Ahmad Faez Abdul Razak dan calon Barisan Nasional (BN), Siti Nur Umaira Hasim.

Mohamad Hanifah pada PRN 2023 bertanding atas tiket Perikatan Nasional, menewaskan calon PH-PKR iaitu Datuk Ismail Ahmad dengan majoriti 1,640 undi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN