Cadangan wujudkan Perikatan Barisan Nasional tidak pernah dibincang

Cadangan wujudkan Perikatan Barisan Nasional tidak pernah dibincang

AHMAD Zahid Hamidi (kiri) bersama Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang (kanan) ketika hadir mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan antara Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah dengan Exco-Exco Luar Bandar (MEXCLUB) di Teluk Bahang, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU : Tidak ada sebarang perbincangan berlangsung antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) mengenai cadangan persefahaman kerjasama untuk mewujudkan Perikatan Barisan Nasional (PBN).

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, cadangan itu hanya disebut dalam ucapan kempen dan tidak pernah dibincangkan secara rasmi, malah, perlu diperhalusi terlebih dahulu sekiranya benar-benar mahu ia direalisasikan.

“Perkara itu hanya disebut di dalam ucapan ketika kempen. Tidak ada sebarang perbincangan lagi. Sebaiknya, adakan perbincanganlah.

“Kita jadikan ia rasmi kalau itu serius cadangannya. Tetapi, kalau setakat kempen saja, saya fikir harus diperincikanlah cadangan berkenaan,” katanya di hari ini.

Terdahulu, beliau mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan antara Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Bersama Exco-Exco Luar Bandar (Mexclub) kali ke-61 yang merupakan platform penyelarasan antara pihak kementerian dengan Exco Luar Bandar seluruh negara bagi menyelaras dasar pelaksanaan dan keutamaan pembangunan desa.

Media sebelum ini melaporkan, Presiden Parti Wawasan Negara (Wasasan), Datuk Seri Hamzah Zainudin mencadangkan supaya persefahaman antara PN dan BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dikenali sebagai PBN.

Hamzah berkata, ia bagi memudahkan rakyat memahami kerjasama antara kedua-dua gabungan parti itu selain bagi mengelakkan kekeliruan apabila menyebut PN dan BN secara berasingan.

Mengulas kebimbangan berlakunya boikot dalam kalangan akar umbi UMNO di Dewan Undangan Negeri (DUN) Klawang menjelang hari pengundian PRN Negeri Sembilan pula, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, perkara itu sedang ditangani dan beliau yakin penyelesaian dapat dicapai dalam tempoh terdekat.

Katanya, beliau telah mengadakan perbincangan dengan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berhubung isu berkenaan memandangkan DUN itu terletak dalam kawasan Parlimen pemimpin tersebut.

“Perkara itu sedang di dalam perjalanan untuk penyelesaian. Kita ada tempoh kira-kira sembilan hari lagi dan saya fikir perkara itu boleh diselesaikan,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN