Cabaran pelajar USIM imbangi akademik, kokurikulum terbalas

Cabaran pelajar USIM imbangi akademik, kokurikulum terbalas

AHLI Kelab Stracomm Clique Universiti Islam Malaysia (USIM) meraikan kemenangan Haikal Nazhan Hamdan , Muhammad Akmal Zuhdi Che Mohd. Zaini dan Irdina Syahirah Shamzulnizam selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Siwa AKSIS 24/25 baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Cabaran membahagikan masa antara akademik, kepimpinan dan aktiviti kesukarelaan tidak menghalang tiga mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) meraih lima pengiktirafan pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Siswa (AKSIS) Sesi Akademik 2024/2025, baru-baru ini.

Haikal Nazhan Hamdan menerima Anugerah Utama Tokoh AKSIS dan Anugerah Kepimpinan Siswa, manakala Muhammad Akmal Zuhdi Che Mohd Zaini meraih Anugerah Tokoh Daya Usaha Inovasi Siswa serta Anugerah Tokoh Sukarelawan Siswa. Irdina Syahirah Shamzulnizam pula menerima Anugerah Tokoh Komuniti Siswa.

Haikal Nazhan berkata, pengiktirafan itu menjadi penghargaan terhadap segala usaha dan pengalaman kepimpinannya sepanjang berada di kampus, selain mendedikasikan kejayaan tersebut kepada ibu serta ahli keluarga yang sentiasa menjadi sumber kekuatan.

“Pesanan saya kepada rakan-rakan USIM, teruskan menjadi manusia yang bermanfaat kepada orang lain, aktif dalam aktiviti pelajar dan uruskan setiap amanah serta dokumentasi dengan sebaiknya,” katanya.

Muhammad Akmal pula berkata, kemenangan dua anugerah menjadi bukti segala penat lelah sepanjang bergelar mahasiswa akhirnya membuahkan hasil walaupun berdepan cabaran mengimbangi akademik dengan pelbagai komitmen kokurikulum.

Katanya, penyertaan dalam Digital Innovation Creative Entrepreneurship (DICE) 3.0, pengalaman mengendalikan Gimik 25 Tahun USIM serta penglibatan dalam program kesukarelaan banyak membentuk kemahiran kepimpinan, komunikasi dan pengurusan dirinya.

“Cabaran terbesar adalah membahagikan masa, tetapi akademik tetap menjadi keutamaan walaupun saya aktif dalam pelbagai program,” katanya.
Irdina Syahirah pula berkata, pengiktirafan itu amat bermakna selepas melalui perjalanan yang tidak mudah dalam mengimbangi tuntutan akademik, kepimpinan dan khidmat masyarakat.

Beliau antaranya mengetuai MPP Global Talks bersama institusi dari Jordan, Switzerland dan Pakistan serta menyertai Kembara Prihatin Orang Asli.

“Saya bersyukur dan terharu menerima anugerah ini. Kejayaan ini tidak dapat dicapai tanpa sokongan keluarga, rakan, pensyarah dan staf USIM. Jangan ragu-ragu dengan kebolehan diri dan beranilah melangkah walaupun takut,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN