Briar Resources saman Behn Meyer, dakwa langgar kontrak Program Baja Madani - Utusan Malaysia

Briar Resources saman Behn Meyer, dakwa langgar kontrak Program Baja Madani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Briar Resources Sdn Bhd memfailkan saman sivil di Mahkamah Tinggi Shah Alam terhadap Behn Meyer AgriCare (M) Sdn Bhd berhubung pertikaian berkaitan pembuatan dan pembekalan baja bawah Program Baja Madani.

Dalam kenyataan melalui peguamnya, Tetuan Foo Hiap Siong & Co, Briar Resources mendakwa defendan melanggar obligasi kontrak melibatkan pengeluaran dan pembekalan baja MPOB F5 Improved, sekali gus menjejaskan pelaksanaan program berkenaan.

Peguam syarikat, William Foo Hiap Siong, berkata tindakan undang-undang itu diambil bagi melindungi kepentingan lebih 500,000 pekebun kecil sawit yang terbabit dalam Program Baja Madani sejak 2024.

Beliau mendakwa, pertikaian itu menyebabkan sekatan terhadap pengambilan dan pembekalan stok sejak Mac tahun ini, mengakibatkan syarikat menanggung kerugian dianggarkan RM1.8 juta.

Menurut pernyataan tuntutan, Briar Resources mendakwa Behn Meyer menyekat pengambilan stok baja yang telah diluluskan, menahan beg pembungkusan berjenama Briar Resources, serta gagal membekalkan stok mengikut syarat yang dipersetujui.

Syarikat itu mendakwa keadaan tersebut menjejaskan keupayaannya memenuhi tempahan pelanggan, termasuk koperasi pekebun kecil dan pesanan eksport yang telah disahkan, selain menyebabkan gangguan terhadap pelaksanaan Program Baja Madani yang dirancang sejak Jun 2024.

Briar Resources turut memohon deklarasi bahawa ia mempunyai hak eksklusif sebagai pemegang lesen formulasi baja MPOB F5 Improved, selain perintah penyerahan stok dan beg pembungkusan yang didakwa ditahan, injunksi bagi melindungi formulasi serta jenama produk dan ganti rugi yang akan ditentukan mahkamah.

Pengerusi Eksekutif Briar Resources, Syed Razlan Jamalullail, berkata tindakan itu diambil bagi melindungi hak harta intelek yang dilesenkan oleh MPOB, memastikan keyakinan pekebun terhadap jenama Baja Madani serta menjamin rantaian bekalan baja sawit negara.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Wayne Lai, pula berkata syarikat akan terus memastikan operasi berjalan seperti biasa dan memenuhi komitmen kepada pelanggan serta rakan strategik sementara prosiding mahkamah berlangsung.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN