PETALING JAYA: Jaguh para powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin mengakui kecewa apabila gagal mempertahankan pingat emas kategori lightweight lelaki pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 selepas sekadar meraih pingat gangsa dalam saingan yang berlangsung di Scottish Event Campus Armadillo, semalam.
Juara Paralimpik dua kali itu percaya peluangnya untuk mempertahankan gelaran masih terbuka sehingga percubaan terakhir apabila merancang melakukan angkatan seberat 230 kilogram (kg) bagi memperbaiki kedudukan dan memburu pingat emas.
Bagaimanapun, Bonnie mendakwa belum sempat menyempurnakan angkatan tersebut kerana pengadil memberikan arahan ‘rack’, sekali gus menamatkan percubaannya pada detik yang dianggap cukup penting dalam pertandingan itu.
Bonnie turut memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana tidak berjaya mempertahankan pingat emas, namun menegaskan keputusan di Glasgow tidak akan mematahkan semangatnya untuk terus memburu kejayaan pada masa depan.
“Ya saya memang amat kecewa tidak dapat pertahankan pingat emas untuk Malaysia dan saya memohon maaf kepada rakyat Malaysia. Saya berpuas hati dengan persembahan saya pada hari ini(semalam), saya terima pingat ketiga ini.
“Bagi angkatan terakhir, saya memang mahu melakukan 230kg. Ketika itu saya belum selesai meletakkan palang di rak tetapi pengadil sudah memberikan arahan ‘rack’. Tidak mengapa, mungkin bukan rezeki saya di sini,” kata juara dunia empat kali itu.
Meskipun terkilan gagal mengulangi kejayaan meraih pingat emas pada edisi Birmingham 2022, atlet kelahiran Sarawak berusia 27 tahun itu memilih untuk menerima keputusan berkenaan tanpa mengemukakan sebarang bantahan rasmi.
Menurutnya, fokus kini terarah kepada persiapan menghadapi Sukan Para Asia di Aichi-Nagoya, Jepun pada Oktober ini, dengan tekad untuk kembali lebih kuat selepas pulang ke tanah air.
“Saya akan berlatih dengan lebih keras untuk menghadapi Sukan Para Asia di Aichi-Nagoya. Selepas pulang nanti, saya akan kembali menjalani latihan dan fokus kepada sasaran saya,” ujarnya.
Dalam saingan tersebut, Bonnie mencatat angkatan terbaik 220kg untuk mengumpul 153.5 mata bagi menghadiahkan pingat gangsa buat kontinjen negara.
Pingat emas dimenangi atlet England, Mark Swan yang melakukan angkatan 222kg untuk mengumpul 153.9 mata, manakala wakil Nigeria, Roland Ezuruike meraih perak selepas mencatat angkatan 185kg dengan jumlah mata yang sama.
Sementara itu, jurulatih kebangsaan, Mohamad Shahibullah Ambi menegaskan anak buahnya itu sudah memberikan yang terbaik walaupun masih dalam proses mendapatkan semula tahap prestasi optimum selepas pulih daripada kecederaan di bahagian kiri dada.
Menurut beliau, Bonnie mengalami sedikit koyakan pada bahagian tepi dada pada awal tahun ini dan menjalani program pemulihan di Institut Sukan Negara (ISN), selain turut berdepan cabaran menurunkan berat badan bagi memenuhi had kategori lightweight bawah 72kg.
“Bonnie juga baru pulih daripada kecederaan. Setakat ini, Alhamdulillah, dia sudah memberikan yang terbaik.
“Dalam tempoh seminggu ini dia menurunkan berat badan dan mungkin itu antara sebab tenaganya berkurangan, tapi kita terima keputusan ini dan akan berusaha buat penambahbaikan,” kata Shahibullah. – UTUSAN










