JELEBU: Tempoh berkempen yang singkat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan tidak seharusnya disia-siakan dengan mencaci atau menyerang mana-mana pihak.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, sebaliknya gabungan itu memberi tumpuan sepenuhnya kepada tawaran untuk rakyat sepanjang tempoh berkempen.
Bagaimanapun katanya, BN tetap akan menjawab setiap tuduhan sekiranya ada pihak yang terus-menerus menghina dan mengkritik gabungan itu.
“Kita jawab untuk mempertahankan BN tetapi tidaklah sampai menghina atau merendah-rendahkan mana-mana calon atau sesiapa pun.
“Kalau mereka berterusan menjual, terpaksalah kami membeli, tetapi cukuplah sedikit-sedikit.
“Perlu ke setiap kali berkempen mencaci orang lain sedangkan inilah peluang untuk kita menerangkan kepada orang ramai mengenai khidmat dan hala tuju kita serta parti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program tinjauan mesra di Kampung Jerang, hari ini.
Jalaluddin yang juga calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pertang berkata, semua calon BN berpegang kepada pendekatan berhemah ketika berkempen dengan memberi penjelasan mengenai hala tuju masing-masing, berbanding menghabiskan masa menyerang pihak lawan.
“Gunakan masa berkempen sebaiknya, jangan sia-siakan 20 atau 30 minit hanya untuk mencaci.
“Calon-calon BN juga tidak menyentuh perkara berkaitan Kerajaan Perpaduan dalam kempen kerana masing-masing memahami perkara yang wajar dan tidak wajar untuk dibangkitkan,” katanya. – UTUSAN










