JEMPOL: Persefahaman yang dibentuk antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) memang menjadi harapan majoriti orang Melayu bagi memastikan undi tidak berpecah bukan hanya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan malah hingga pilihan raya umum akan datang.
Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Mustapha Nagoor berkata, kerjasama antara dua parti Melayu itu penting bagi memastikan kestabilan politik serta membolehkan sebuah kerajaan negeri yang lebih stabil dibentuk.
“Persefahaman antara BN dan PN ini telah menjadi satu harapan majoriti orang Melayu. Orang Melayu mahu supaya parti Melayu, parti Islam ini bersatu.
“Bila bersatu, kita dapat elakkan undi orang Melayu berpecah. Bila undi Melayu tidak berpecah, semua kawasan majoriti Melayu ini kita boleh menang,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas menyantuni penduduk sekitar Pasar Tani Keluarga Malaysia, Palong, di sini semalam.
Calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Palong itu berkata, kerjasama itu bukan sahaja memberi peluang kepada BN dan PN memenangi kawasan majoriti Melayu, malah mampu membantu kemenangan di kawasan majoriti bukan Melayu.
“Dan juga kita boleh beri kemenangan pada kawasan yang majoriti bukan Melayu. Akhirnya kita akan dapat tubuh sebuah kerajaan yang ebih stabil.
“Majoriti rakyat Malaysia terdiri daripada orang Melayu dan penyatuan antara parti Melayu akan beri kestabilan lebih baik kepada semua kaum,” katanya.
Tambah Mustapha, beliau menghargai kebijaksanaan pemimpin kedua-dua parti yang berjaya mencapai persefahaman serta kerjasama berkenaan.
“Sebab itu saya akan syukur banyak-banyak di atas kebijaksanaan pemimpin-pemimpin kita yang telah mendapatkan idea penyatuan atau kerjasama antara dua parti Melayu ini.
“Di Negeri Sembilan ini, kita pilih biru. Mana tempat yang BN bertanding, pangkahlah BN. Mana tempat yang BN tidak bertanding, pilih PN yang bertanding.
“Kita nak pilih biru, kita tolak warna merah (Pakatan Harapan),” katanya.
Kelmarin Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Ghani berkata, keputusan PRN Negeri Sembilan menjadi penentu kesinambungan kerjasama antara BN dan PN dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16). – UTUSAN










