LARUT: Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) belum mencapai sebarang persefahaman di peringkat Pusat, meskipun kedua-dua gabungan itu mula menjalin kerjasama politik di beberapa negeri.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, sebarang bentuk kerjasama antara BN dan PN akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut keadaan dan masa yang sesuai.
Menurut beliau, tumpuan ketika ini adalah menyelesaikan persefahaman di peringkat negeri terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat berhubung kerjasama di peringkat Pusat.
“Belum ada lagi persetujuan untuk Pusat dan sebagainya. Belum. Kita tengok satu persatu.
“Kita ambil selangkah demi langkah mengikut waktunya. Apabila tiba waktunya atau sebelum tiba waktunya, tentulah ada keputusan daripada Majlis Kerja Tertinggi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Larut di Felda Ijok, di sini hari ini.
Ahmad berkata, pendekatan itu termasuk mengambil langkah kerjasama di beberapa negeri antaranya Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.
“Kita mengambil langkah di Johor, mengambil langkah di Negeri Sembilan, lepas itu mengambil langkah di Melaka. Langkah demi langkah,” katanya.
Beliau berkata, sebarang keputusan berkaitan kerjasama di peringkat Pusat akhirnya perlu diputuskan oleh pucuk pimpinan parti, termasuk Majlis Kerja Tertinggi UMNO. – UTUSAN










