SEREMBAN: Peningkatan hasil Negeri Sembilan sejak 2023 turut disumbangkan oleh Barisan Nasional (BN) sebagai rakan dalam pembentukan kerajaan negeri.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, peningkatan hasil negeri itu tidak hanya atas usaha Pakatan Harapan (PH) sahaja.
“Jangan lupa rakan kongsi mereka. BN mempunyai 14 kerusi dan memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan politik serta urus tadbir kerajaan negeri.
“Dengan kestabilan itu, kita berjaya menarik pelaburan yang akhirnya menyumbang kepada peningkatan hasil negeri.
“Peranan yang saya mainkan sebagai wakil BN dalam menarik pelabur dan menambah hasil negeri juga bukan kecil,” katanya semasa sidang akhbar selepas menghadiri Dialog Muafakat Nasional di Senawang, di sini, hari ini.
Yang hadir sama, Pengerusi PN, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
Jalaluddin berkata, kerajaan negeri turut membawa beberapa cadangan ke peringkat Persekutuan termasuk berkaitan pembayaran premium bagi meningkatkan hasil negeri.
Beliau juga turut menolak dakwaan peningkatan hasil negeri menjadi faktor BN berhasrat mengambil alih pentadbiran Negeri Sembilan.
“Kalau kata kita tergeliur kerana melihat hasil negeri yang meningkat, kita sendiri mempunyai pengalaman mentadbir negara dan negeri.
“Kita tidak pernah menjadikan hasil negeri sebagai faktor untuk mengambil alih sesebuah kerajaan. Lari sangat tuduhan itu,” katanya.
Sementara itu, Jalaluddin berkata, UMNO sudah tawar hati untuk bekerjasama dengan PH selepas gabungan itu gagal menguruskan isu adat yang menjadi polemik di negeri ini.
Katanya, BN mempunyai pilihan lain apabila jajaran baharu dengan rakan persefahaman Perikatan Nasional (PN) yanh diyakini boleh membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
“Negeri Sembilan adalah pencetus muafakat ini. Tidak mungkin saya akan bekerjasama dengan PH lagi, kerana sudah ada jajaran baharu.
“Jawatan Menteri Besar dan exco tidak bincang pun. Apa yang kita bincang adalah tentang kesepakatan.
“Kita harus menyatakan pemikiran dan tenaga, tautkan ikatan supaya tiada lagi perbalahan dan persengketaan antara BN-PN,” katanya.
Ahmad Samsuri sementara itu berkata, PH tidak perlu mendakwa Pas berulang kali ‘menyerang’ DAP sepanjang kempen PRN Negeri Sembilan.
Beliau sebaliknya mendakwa, polemik yang timbul sebenarnya berpunca daripada tindakan PH yang sering mencetuskan pelbagai kontroversi.
“Pada saya, apa yang berlaku ialah ‘self-destruction’. Mereka yang mencipta masalah kepada diri sendiri.
“Jadi, kenapa pula dilabelkan kita meratib (isu DAP)? Masalah itu ditimbulkan oleh mereka sendiri. Apa masalah yang dimaksudkan, mereka perlu buat cerminan terhadap diri sendirilah,” katanya. – UTUSAN










