MARANG: Perbezaan konsep ‘ketuanan Islam’ dan ‘ketuanan Melayu’ yang masing-masing dipegang Pas serta UMNO bukan satu cabaran besar bagi kedua-dua buah parti berkenaan untuk mengukuhkan jalinan kerjasama politik.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, perbezaan itu boleh diselesaikan apatah lagi Melayu dan Islam tidak boleh berpisah.
Beliau berkata, pertelagahan antara Pas dan UMNO adalah dari segi pendekatan tetapi bukan dasar yang mana menjadi kebiasaan berlaku khilaf dalam sejarah kerjasama antara kedua-dua buah parti.
“Perkara dasar tiada khilaf antara Pas dan UMNO. (Pendekatan) Pas berdasarkan Islam manakala UMNO berdasarkan Melayu. Melayu dan Islam ini tidak berpisah. Melayu itu Islam. Kita berbalah pendekatan sahaja, dasar tidak berkelahi,” katanya selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila, di sini hari ini. – UTUSAN










