Bersatu tanding solo PRN Negeri Sembilan

Bersatu tanding solo PRN Negeri Sembilan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memutuskan untuk menggunakan lambangnya sendiri dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Keputusan itu dibuat susulan Bersatu tidak dilibatkan dalam sebarang perbincangan pembahagian kerusi Perikatan Nasional (PN) yang kini dipengerusikan oleh Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Naib Presiden Pas.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Kerusi PN untuk PRN Negeri Sembilan yang berlangsung pada 12 Julai lalu terpaksa ditangguhkan kerana Pas berpendirian mengadakan kerjasama politik dengan Barisan Nasional (BN).

Katanya, Bersatu berpendirian bahawa perkara itu mesti dibincangkan dan dipersetujui oleh Majlis Tertinggi PN terlebih dahulu kerana ia melibatkan dasar dan hala tuju parti yang berada di bawah bidang kuasa Majlis Tertinggi.

“Malangnya, sehingga kini Majlis Tertinggi Perikatan Nasional tidak dipanggil bermesyuarat dan Mesyuarat Jawatankuasa Rundingan Kerusi PN juga ditangguhkan tanpa ada tarikh baharu yang ditetapkan untuk memuktamadkan pembahagian kerusi antara parti-parti anggota PN.

“Kegagalan Pengerusi PN memanggil mesyuarat Majlis Tertinggi PN untuk menentukan dasar dan hala tuju parti pada saat genting ketika PN sedang menghadapi PRN Negeri Sembilan adalah amat dikesali dan bercanggah dengan Perlembagaan PN,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas selesai mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, di sini, hari ini.

Susulan keputusan unilateral oleh Pas itu, Muhyiddin berkata, Bersatu membuat ketetapan sendiri termasuk menggunakan logo sendiri pada PRN Negeri Sembilan tidak lama lagi.

Selain itu, katanya, pihaknya juga mengambil maklum hasrat beberapa buah parti politik yang ingin menggunakan simbol Bersatu dalam PRN Negeri Sembilan.

“Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu telah meneliti perkara ini dan bersetuju untuk memberikan mandat kepada Presiden Bersatu untuk memberikan kebenaran kepada calon dari parti-parti lain untuk menggunakan simbol Bersatu,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN