KANGAR: Prestasi buruk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor perlu dijadikan pengajaran agar tidak berdepan lagi kekalahan demi kekalahan selepas ini.
Pengerusi Bersatu negeri, Abu Bakar Hamzah berkata, fokus utama parti kini ialah memperkukuh persiapan menghadapi PRN Negeri Sembilan dan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Katanya, isu pertelingkahan dalaman dan isu pemecatan ahli tidak seharusnya terus diperbesarkan kerana keutamaan parti ialah mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kemampuan Bersatu mentadbir negara dan negeri.
“Fokus kita sekarang adalah menghadapi pilihan raya akan datang. Apa yang berlaku di Johor memberi pengajaran dan cabaran kepada Bersatu untuk terus meningkatkan mutu perkhidmatan serta memperkukuh keyakinan rakyat terhadap parti,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Pada PRN Johor, PN bukan sahaja tewas di dua kerusi penyandangnya di Bukit Kepong dan Endau, malah gagal meraih kemenangan di kesemua 33 kerusi DUN yang ditandinginya.
Sementara itu, Abu Bakar berkata, kedudukannya sebagai Menteri Besar tidak terjejas meskipun melepaskan jawatan sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti.
Katanya, dirinya masih kekal sebagai ahli Bersatu dan akan terus berpegang kepada disiplin dan prinsip parti.
“Ketika ini sukar untuk meramalkan keputusan akan dibuat Presiden Bersatu berhubung keputusan saya melepaskan jawatan Ahli MPT namun saya yakin sebarang keputusan akan mengambil kira kepentingan semua pihak,” katanya.-UTUSAN










