JOHOR BAHRU: Seramai 12 lelaki termasuk seorang remaja berusia 15 tahun ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam pergaduhan di sebuah restoran di Taman Daya, di sini pagi tadi
Ketua Polis Johor, Komisioner Datuk Ab. Rahaman Arsad berkata, tindakan penguatkuasaan tersebut dilakukan susulan maklumat awal yang diterima pihak kontinjen berhubung insiden kekecohan berkenaan pada pukul 5.40 pagi.
Beliau berkata, kesemua suspek ditangkap dalam satu operasi khas antara pukul 10 hingga 11 pagi oleh pasukan Cawangan D7, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan.
“Hasil risikan dan tindakan pantas polis berjaya mengesan serta menahan kesemua suspek di sekitar kawasan Taman Setia Indah tidak lama selepas kejadian dilaporkan.
“Hasil semakan rekod jenayah lampau ke atas kesemua yang ditahan mendapati tiga daripada suspek mempunyai sejarah pembabitan dalam kes jenayah sebelum ini,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Terdahulu, tular sebuah video di media sosial berdurasi 2 minit 36 saat memaparkan pergaduhan yang tercetus ketika perlawanan akhir Piala Dunia antara Sepanyol menentang Argentina, pagi tadi.
Mengulas lanjut, Ab. Rahaman memberitahu, kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret, di sini esok bagi proses permohonan tahanan reman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan menggunakan senjata. – UTUSAN










