KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan (MOF) tidak melihat keperluan untuk mengubah unjuran semasa bagi Belanjawan 2027 setakat ini, namun akan menilai semula kedudukan ekonomi menjelang pembentangannya pada Oktober depan.
Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, kementerian turut membuka ruang kepada semua pihak mengemukakan cadangan dan idea baharu bagi penyediaan Belanjawan 2027.
“Kementerian Kewangan sedia menerima cadangan dan juga idea-idea baharu untuk Belanjawan 2027.
“Setakat ini, berdasarkan apa yang telah berlaku dalam separuh pertama tahun 2026, kita tidak nampak ada keperluan untuk mengubah unjuran buat masa ini.
“Bagaimanapun, apabila sampai bulan Oktober dan Belanjawan dibentangkan, kita akan mengkaji keadaan semasa, terutama kesan perkembangan di Asia Barat bergantung kepada apa yang berlaku di rantau itu,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Mohd. Syahir Che Sulaiman (PN- Bachok) yang meminta kerajaan menjelaskan adakah peningkatan kos subsidi semasa akan mempengaruhi keutamaan dan kerangka Belanjawan 2027 serta apakah jaminan kerajaan tekanan fiskal membawa kepada pengenalan cukai baharu atau pengurangan bantuan kepada rakyat.
Tambah Chin Tong, semakan semula terhadap unjuran fiskal bagi 2026 akan diumumkan ketika pembentangan Belanjawan 2027 selepas kerajaan mengambil kira perkembangan ekonomi semasa, prestasi kutipan hasil serta perbelanjaan bagi separuh pertama tahun ini.
“Semakan semula terhadap unjuran fiskal 2026 akan diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2027 setelah mengambil kira indikator ekonomi terkini serta prestasi kutipan hasil dan perbelanjaan bagi separuh pertama 2026,” katanya.-UTUSAN










