BEIP bakal angkat Kudat hab ekonomi biru berimpak tinggi di Asia Tenggara

BEIP bakal angkat Kudat hab ekonomi biru berimpak tinggi di Asia Tenggara

MASIUNG Banah (kanan) diberi taklimat ketika melawat tapak cadangan Projek Taman Perindustrian Ekonomi Biru (BEIP) di Kampung Limau-Limauan, Kudat. - UTUSAN/HARDY JOE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUDAT: Projek Taman Perindustrian Ekonomi Biru (BEIP) yang akan dibangunkan di daerah ini di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bakal menjadikan Kudat hab ekonomi biru berimpak tinggi di Asia Tenggara.

Pengerusi Kumpulan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO), Datuk Masiung Banah berkata, projek berkonsepkan pembangunan maritim dan teknologi hijau yang pertama seumpamanya di negara ini, dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi Sabah.

“SEDCO diberikan tanggungjawab peneraju utama projek itu dengan kerjasama kementerian, jabatan kerajaan negeri, Persekutuan serta agensi swasta berkaitan.

“Projek itu akan memberi nilai tambah kepada sektor ekonomi negeri terutama industri maritim, logistik dan perdagangan yang mempunyai potensi besar di rantau Asia Tenggara,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat mengenai cadangan pembangunan BEIP di Pejabat Daerah Kudat.

Beliau berkata, projek berskala besar itu akan memberi tumpuan pembangunan industri makanan laut, logistik perdagangan dan kegiatan ekonomi berasaskan laut.

“Perunding yang dilantik diarah menyediakan pelan induk pembangunan termasuk memulakan kerja pengukuran serta penyediaan tapak di kawasan seluas 1,205 ekar milik SEDCO di Kampung Limau-Limauan dan Perapat Laut.

“Selain kawasan itu, seluas 3,129 ekar lagi tanah membabitkan kawasan hutan simpan dan paya bakau di Matunggung, Banggi dan Tanjung Kapor turut dikenal pasti sebagai kawasan rizab pembangunan projek berkenaan.

“Lokasi strategik Kudat berhampiran dengan China, Korea Selatan, Jepun dan Filipina memberi kelebihan besar untuk dibangunkan sebagai pusat perdagangan dan industri maritim serantau,” katanya.

Masiung berkata, aktiviti ekonomi masyarakat setempat turut diberikan perhatian menerusi usaha memperkukuh industri perikanan laut dalam serta menaik taraf pembinaan bagang di kawasan pesisir pantai.

Katanya, pembangunan BEIP merangkumi pelbagai projek maritim bernilai tinggi yang menekankan kelestarian alam sekitar, pemuliharaan marin serta cadangan pembinaan pelabuhan sebagai zon perdagangan serantau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN