Bayaran stesen TV kepada produksi juga tidak meningkat -Shahrulezad - Utusan Malaysia

Bayaran stesen TV kepada produksi juga tidak meningkat -Shahrulezad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penerbit dan pengarah, Shahrulezad Mohameddin mendedahkan syarikat produksi tidak boleh menaikkan kadar bayaran pelakon veteran sewenang-wenangnya disebabkan bayaran yang diterima daripada stesen televisyen (TV) kepada mereka juga tidak meningkat.

Shahrulezad atau dikenali sebagai Budak Ijat, 54, berkata, kos operasi penggambaran kini semakin meningkat dan pihak produksi memahami kehendak para pelakon yang mengharapkan kadar bayaran lebih tinggi berikutan peningkatan kos sara hidup semasa.

“Bagi saya, adalah sesuatu yang wajar apabila pelakon juga mengharapkan kadar bayaran yang lebih tinggi berikutan peningkatan kos sara hidup. Kami memahami perkara itu dan menghormati nilai yang mereka bawa kepada sesebuah karya.

“Namun realitinya, kadar bayaran daripada stesen TV juga tidak meningkat. Dalam kebanyakan keadaan, peningkatannya mungkin hanya sekitar beberapa ribu ringgit bagi setiap episod berbanding kos operasi yang meningkat dengan lebih ketara,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia pada Ahad.

Tambah Shahrulezad, cabaran utama syarikat produksi pada masa kini adalah lonjakan kos logistik dan keperluan teknikal.

Katanya, kenaikan kos berkenaan sekali gus mengecilkan margin bajet yang diperuntukkan bagi pembikinan sesebuah drama atau program.

“Cabaran utama yang dihadapi syarikat produksi ketika ini adalah peningkatan kos operasi yang berlaku secara menyeluruh. Kenaikan harga bahan api, kos logistik, pengangkutan, sewaan lokasi, penginapan, makanan kru, peralatan dan pelbagai keperluan teknikal telah memberi kesan yang besar kepada kos penerbitan sesebuah drama atau program.

“Pada pandangan saya, isu bayaran pelakon ini agak subjektif dan tidak boleh digeneralisasikan. Setiap produksi mempunyai bajet yang berbeza, begitu juga keperluan setiap watak.

“Bukan bermaksud kami tidak menghargai nilai atau pengalaman seseorang pelakon. Kami perlu mengimbangi keseluruhan bajet supaya semua aspek produksi dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya.

Walau bagaimanapun, isu ini mencetuskan dilema dalam industri hiburan apabila pelakon veteran menuntut bayaran yang setimpal dengan pengalaman mereka, manakala pihak produksi pula terpaksa berdepan tekanan kekangan bajet yang sama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN