PETALING JAYA: Pembabitan Pelakon, Kamal Adli, 40, dalam platform Thread menemukan dia dengan ramai individu yang meminta pertolongan kerana bermasalah dari segi kewangan.
Disebabkan itu, Kamal atau Ahmad Kamal Ahmad Adli semampu yang boleh akan membantu meringankan beban individu terbabit.
“Baru saya tahu ramai yang bermasalah dari segi wang ringgit. Ada yang mesej pinjam wang, minta derma dan sebagainya.
“Saya bantu mengikut kemampuan, yang boleh saya tolong, saya tolong. Tak perlulah perkara itu kita tunjuk.
“Saya kasihan apabila ada yang mesej gambar satu keluarga, minta RM50 untuk beli susu anak. Yang boleh, saya bantu, saya minta terus kod respons pantas (QR) untuk pindahkan wang.
“Tak kisahlah duit itu ke mana perginya yang penting niat kita sudah betul,” katanya ketika ditemui semasa sidang media Melodi Terhangat RST @ Balai Berita, semalam.
Dalam pada itu Kamal juga gembira kerana menggunakan platform media sosial itu untuk membantu ramai peniaga tempatan.
“Ramai peniaga mesej saya minta tolong bagi ruang kepada mereka mempromosikan perniagaan, dan ada perniagaan mereka maju setelah itu,” jelasnya.
Menurutnya lagi, dia juga dipertemukan dengan ramai individu yang berminat untuk menjadikannya sebagai suami.
“Ada yang mengajak saya kahwin, yang nak meminang saya, yang nak kenalkan kepada adik mereka, macam-macam perangai. Tapi saya tolak cara baik,” katanya.
Namun pengacara baharu rancangan Melodi itu bersyukur kerana platform Thread banyak membuka peluang dan pintu rezeki kepadanya.
“Sebenarnya Thread ini antara yang menjadi platform rezeki untuk saya, banyak jenama yang melamar saya melaluinya, Alhamdulillah.
“Cuma kita kena beradab bila menulis dalam Thread, jangan menghina orang lain,” ujarnya.-UTUSAN










