PASIR SALAK: Sebuah bangunan terbiar sejak 2008 didakwa menjadi sarang penagihan dadah serta dipercayai digunakan bagi kegiatan tidak bermoral, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk di Parit 8, Chikus di sini.
Seorang penduduk, Ismail Buyong, 72, berkata, keadaan bangunan yang semakin usang dan dipenuhi semak samun mengundang pelbagai aktiviti tidak sihat sehingga menjejaskan keselamatan serta ketenteraman penduduk setempat.
Menurutnya, bahagian dalam bangunan itu dipenuhi sampah sarap selain terdapat peralatan dipercayai digunakan untuk penagihan dadah, termasuk jarum suntikan.
“Penduduk berpendapat bangunan lama ini perlu segera dibersihkan dan diselenggara supaya tidak terus menjadi lokasi kegiatan tidak sihat atau berlakunya perkara yang tidak diingini.
“Keadaan bangunan yang terbiar turut menimbulkan rasa tidak selamat kepada penduduk, khususnya mereka yang tinggal berhampiran. Kami juga bimbang ia menjadi tempat persembunyian haiwan berbisa dan babi hutan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, penduduk turut bimbang bangunan itu dijadikan lokasi melakukan perbuatan tidak bermoral.
Menurutnya, kegiatan penagihan dadah di kawasan berkenaan boleh memberikan pengaruh negatif kepada golongan remaja, khususnya pelajar yang masih bersekolah.
“Bangunan itu juga menjadi tempat remaja bermotosikal berkumpul dan melakukan perbuatan tidak bermoral.
“Kami berharap pihak berkenaan mengambil tindakan segera bagi mengelakkan bangunan ini terus dijadikan tempat penagih dadah dan maksiat.
“Saya sendiri pernah melihat sepasang lelaki dan wanita berada di dalam bangunan itu dalam keadaan mencurigakan. Saya menegur mereka dan meminta supaya tidak datang lagi,” katanya.
Ismail berkata, penduduk turut bimbang bangunan tersebut menjadi tempat pembiakan serangga dan haiwan pembawa penyakit seperti nyamuk aedes serta tikus yang boleh menyebabkan kencing tikus.
Selain itu, katanya, kejadian kecurian buah kelapa sawit yang berlaku di kawasan berkenaan dipercayai ada kaitan dengan individu yang sering melepak di bangunan terbiar tersebut.
“Kemungkinan mereka yang melakukan perbuatan itu terdiri daripada individu yang menjadikan bangunan ini sebagai tempat berkumpul,” katanya.
Beliau berharap pihak bertanggungjawab segera membaik pulih atau mengambil tindakan terhadap bangunan berkenaan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini, di samping menceriakan semula persekitaran kampung.-UTUSAN










