Menulis pantun merupakan salah satu genre penulisan sastera. Pantun adalah kategori puisi tradisional warisan budaya orang Melayu turun temurun sejak zaman dahulu lagi. Pantun sering digunakan oleh masyarakat Melayu sewaktu majlis pertunangan, perkahwinan dan majlis rasmi.
Menurut Pendeta Za’ba (Tan Sri Dr. Zainal Abidin Ahmad), pantun merupakan karya sastera yang paling tulen dan menjadi hak mutlak orang Melayu. Pantun berfungsi sebagai wadah untuk menyampaikan ilmu, pengajaran, nilai moral yang tinggi dan kebijaksanaan.
Menurut Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz, pantun adalah cerminan akal budi, kebijaksanaan dan minda genius masyarakat Melayu zaman dahulu. Pantun merakamkan cara masyarakat Melayu berfikir, menyelesaikan masalah dan membuat keputusan secara tersirat.
Bagaimanapun, tidak semua insan meminati dan pandai menulis pantun. Justeru, bakat mengarang pantun merupakan satu anugerah yang dikurniakan Allah kepada insan yang sangat meminati seni pantun.
Salah seorang insan yang minat dan berkemahiran dalam bidang pantun ialah penulis Azimin Daud. Minatnya terhadap pantun amat ketara kerana telah berjaya menerbitkan lima buah buku tentang pantun.
Buku tersebut adalah Berbalas Pantun Mandala Sukma, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 2014; Pantun Berkait: Peri Loka Tanah Melaka, DBP 2018; Pantun Teka-Teki: Fikir dan Tafsir (PTTFT), Penerbit UPM 2022; Bentala Pantun (BP), Penerbit UPM 2023 dan Telepuk: Pantun Perhiasan Wanita (TPPW), Penerbit UTM 2024.
Berdasarkan catatan biodata, Azimin seorang penulis yang cinta akan seni sastera moden dan tradisional termasuk karya berbentuk inforia dan kritikan sastera. Memperoleh Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Kewartawanan) Universiti Putra Malaysia.
Azimin mula menulis seawal tahun 1992 dan sehingga kini menyumbangkan penulisan beliau dalam pelbagai genre antaranya puisi (moden dan tradisional), cerpen, skrip drama teater dan bangsawan.
‘Azimin bukan sahaja seorang penulis, malah seorang pengacara majlis yang sering mendapat undangan. Azimin turut menghasilkan sebuah buku tentang pengacara majlis yang bertajuk Rahsia
Pengacara Hebat: Tip dan Skrip, terbitan Institut Terjemahan Buku Malaysia 2015.

Di samping itu, Azimin berkecimpung menulis buku kanak-kanak dan menerbitkan tiga buku kanak-kanak bertajuk Batu di Buyau, Penerbit UiTM 2023, Asal Usul Batu Badak dan Batu Kerbau (AUBBDBK), DBP 2022 dan Sekotak Pensel Warna, DBP 2025. Malah buku AUVBDBK telah menerima Anugerah Persuratan Selatan 2022/2023 kategori Buku Kanak-kanak Terbaik.
Lima buku tentang pantun menunjukkan ‘Azimin sangat meminati dan menguasai bidang pantun. Kesungguhan Azimin menghasilkan lima buah buku ini menggambarkan dengan jelas bahawa jiwa ‘Azimin sepenuhnya mencintai pantun dan ingin menjadikan khazanah ilmu kepada bangsa Melayu dan menjadi budaya yang kekal sepanjang zaman.
Malah dalam Prakata buku TPPW, Azimin menyatakan, usaha mencipta dan menghimpun sejumlah rangkap pantun dalam buku ini bertitik tolak daripada kesungguhan penulis yang berhasrat menjadikan pantun sebagai khazanah warisan bangsa Melayu yang paling unggul. Pantun Melayu merupakan lambang kebijaksanaan bangsanya. Mencipta bait-bait pantun memerlukan pemikiran yang tajam dan teliti.
Sehubungan itu, para pembaca yang meminati pantun wajar memiliki buku-buku mengenai pantun yang ditulis oleh Azimin.
Sebagai contoh buku TPPW yang mengutarakan pantun alat perhiasan wanita. Pantun yang dicipta Azimin banyak menggunakan unsur alam, khususnya pada bunga-bungaan dan dedaunan serta memperlihatkan unsur ini menjadi ilham kepada rupa bentuk perhiasan wanita.
Biar pun telepuk adalah seni hiasan kain melalui proses menekap corak menggunakan perada emas dan perak dan dahulu kala khusus untuk golongan bangsawan. Namun Azimin lebih menekankan perhiasan wanita yang menggunakan unsur alam khususnya bunga dan tumbuhan yang dijadikan corak permukaan kemas atau perhiasan wanita dalam pantun yang dikarangnya.
Begitu juga dengan buku pantun BP yang memberi panduan kepada pembaca tentang ilmu mengarang pantun.
Menurut catatan blurb buku BP, setiap maklumat yang disajikan dalam buku ini, adalah pengalaman peribadi penulis sebagai sang pengarang, penulis dan penggiat pantun, serta menjadi juri atau hakim mana-mana pertandingan pantun di seluruh Malaysia. Menjadi harapan nan tinggi agar pembaca jatuh cinta dan bercinta dengan warisan Melayu yang berumur ratusan tahun, iaitu pantun.
Apatah lagi buku PTTFT mencabar pemikiran pembaca bagaimana mengarang pantun teka-teki. Seperti yang dinyatakan pada blurb PTTFT, “menyarit kecerdikan, ketinggian dan kebijaksanaan pantun itu unik dan indah. Fikir dan tafsir menjadi titik tumpu pembaca menilai kesarjanaan pantun teka-teki dalam pemikiran dan pentafsiran. Berbekalkan pantun teka-teki, ilustrasi dan mandala (doodle) yang indah dan menarik pembaca akan menemui kebitaraan pantun”.
Kesimpulannya, buku-buku pantun tulisan Azimin bakal menjadi khazanah sastera yang berharga sebagai warisan budaya orang Melayu.,justeru, sesiapa yang meminati mengarang pantun wajar memiliki buku-buku ini demi memperoleh ilmu mengarang pantun. Melihat ilmu pantun dalam buku-buku tersebut, secara peribadi, penulis Azimin Daud wajar diiktiraf dan dinobatkan Tokoh Pantun Kebangsaan. —UTUSAN









