Usaha gigih dan kesungguhan dalam menuntut ilmu akhirnya membuahkan hasil apabila pelajar Pusat Tingkatan 6, Sekolah Menengah Kebangsaan Kubang Kerian 2 (SMKKK2), Muhammad Azamuddin Mohamed, berjaya memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025.
Kejayaan tersebut diraikan dalam Majlis Penyampaian Keputusan STPM 2025 yang berlangsung di Dewan Sri Gemilang SMKKK2 baru-baru ini.
Pada majlis berkenaan, Azamuddin turut menerima hadiah wang tunai RM1,000 yang disumbangkan oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sebagai penghargaan atas pencapaian cemerlangnya.
Yang Dipertua PIBG, Khairul Fhazuwan Amanah berkata, sumbangan tersebut merupakan tanda penghargaan kepada pelajar yang telah mengharumkan nama sekolah melalui kecemerlangan akademik.
“Semoga pengiktirafan ini menjadi pemangkin semangat kepada pelajar lain untuk terus berusaha mencapai kejayaan yang membanggakan,” katanya dalam ucapan pada majlis tersebut.
Sementara itu, Pengetua SMK Kubang Kerian 2, Wan Salllim Wan Ismail berkata, kejayaan yang dicapai oleh pelajar Tingkatan Enam membuktikan komitmen warga sekolah dalam melahirkan modal insan yang cemerlang dan berdaya saing.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada guru-guru dan ibu bapa yang sentiasa memberikan sokongan kepada pelajar sehingga berjaya memperoleh keputusan yang membanggakan.
Berkongsi rahsia kejayaannya, Muhammad Azamuddin yang merupakan anak bongsu daripada dua beradik berkata, disiplin dalam mengurus masa serta kesungguhan mengikuti setiap sesi pembelajaran menjadi kunci utama kecemerlangannya.
“Alhamdulillah, saya amat bersyukur dengan keputusan yang diperoleh. Kejayaan ini hasil doa ibu bapa, bimbingan guru-guru dan usaha yang berterusan sepanjang
tempoh pengajian.
“Saya berharap pencapaian ini menjadi langkah awal untuk mencapai cita-cita saya menjadi seorang pendidik,” katanya.
Menurut beliau, hasratnya kini adalah untuk melanjutkan pengajian ke Institut Pendidikan Guru (IPG) bagi merealisasikan impian menjadi guru dan menyumbang kepada pembangunan pendidikan negara.
Sementara itu, ibunya, Maziah Mohd Zain, melahirkan rasa syukur dan bangga atas kejayaan yang diraih oleh anaknya.
“Sebagai ibu, saya sangat bersyukur dan gembira melihat hasil usaha yang ditunjukkan Azamuddin selama ini. Dia seorang anak yang rajin dan sentiasa
berusaha bersungguh-sungguh dalam pelajaran.
“Saya berharap dia terus merendah diri, mengekalkan kecemerlangan dan berjaya mencapai cita-citanya untuk menjadi seorang guru yang dapat mendidik generasi
akan datang,” katanya.
Majlis Penyampaian Keputusan STPM 2025 itu turut menyaksikan seorang lagi pelajar cemerlang Muhammad Amer Fitrie Kamarozaman menerima insentif RM1,000 daripada PIBG sebagai penghargaan atas pencapaian akademik yang membanggakan, sekali gus menyerlahkan kecemerlangan berterusan Pusat Tingkatan 6 SMKKK2.-UTUSAN










