PETALING JAYA: Pelakon, Nadia Brian, meluahkan rasa hairan apabila pelakon yang berdisiplin sering diketepikan daripada mendapat tawaran berlakon berbanding pelakon yang datang lambat ke set penggambaran hampir setiap hari.
Nadia atau Nadia Najwa Mohamed Rashidi, 31, berkata, sesetengah pelakon yang kerap hadir lewat ke lokasi penggambaran masih banyak mendapat tawaran berlakon.
“Pelik tengok apabila ada artis yang datang lewat ke set hampir setiap hari, tetapi masih dapat banyak tawaran berlakon.
“Artis yang komited, menepati masa, dan memberikan 100 peratus kepada kerja tidak mendapat peluang yang sama. Perkara ini sangat pelik. Awak fikir benda yang sama?,” katanya menerusi satu hantaran di Threads miliknya.
Sebelum ini, isu yang hampir sama juga pernah dibangkitkan oleh pelakon Fasha Sandha yang menegur sikap tidak berdisiplin seorang pelakon di set penggambaran.
Menurut Fasha, kelewatan pelakon tersebut bukan sekadar beberapa minit, malah ada kalanya mencecah satu hingga dua jam sehingga memberi kesan kepada kelancaran proses penggambaran. -UTUSAN










