KUALA LUMPUR: Penganjuran Pameran Seni Bina, Reka Bentuk Dalaman dan Bangunan Antarabangsa Ke-25 (Archidex 2026) menyasarkan transaksi perniagaan bernilai RM1.4 bilion menerusi penglibatan pemain industri tempatan dan antarabangsa.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata, sasaran berkenaan akan dicapai menerusi penyertaan 860 pempamer dari 15 negara serta kehadiran kira-kira 40,000 pengunjung perdagangan dari lebih 100 negara.
Menurutnya, pameran berkenaan turut menyediakan platform kepada pemain industri untuk menjalinkan kerjasama, memperluaskan jaringan perniagaan serta memperkenalkan produk dan teknologi terkini dalam sektor seni bina, pembinaan serta hartanah.
“Penyertaan syarikat tempatan bersama pelabur dan pembeli antarabangsa mampu merancakkan aktiviti perdagangan selain membuka peluang baharu dalam sektor persekitaran binaan.
“Kerjasama strategik antara kerajaan, pemain industri dan golongan profesional penting bagi memastikan pameran ini bukan sahaja menjadi platform pameran, malah mencipta peluang perniagaan sebenar,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian Archidex 2026 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), hari ini.
Kor Ming turut menyatakan, orang ramai berpeluang menikmati diskaun 10 peratus bagi pembelian rumah sempena Archidex 2026 serta Persidangan Hartanah ASEAN (AREC) 2026.
Katanya, insentif berkenaan ditawarkan menerusi kerjasama antara KPKT dan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) kepada pengunjung yang hadir serta membuat pembelian rumah.
“Tawaran itu memberi peluang kepada rakyat memiliki rumah idaman pada harga lebih mampu milik, khususnya golongan yang sedang merancang membeli kediaman pertama.
“Pihak kementerian akan terus memperkukuh sektor perumahan menerusi pelbagai reformasi termasuk Sistem Pengurusan Berintegrasi Perumahan (HIMS), Perjanjian Jual Beli Elektronik (e-SPA) serta Audited Housing Development Account (HDA).
“Langkah berkenaan termasuk mekanisme ‘Option to Purchase’ bertujuan memperkukuh perlindungan pembeli serta mengurangkan risiko projek perumahan tertangguh pada masa hadapan,” katanya. – UTUSAN










