KAJANG: Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon maaf sekiranya nada teguran beliau terhadap penjawat awam kedengaran agak tinggi, namun menegaskan ia lahir daripada keprihatinan untuk memastikan agenda negara dapat dilaksanakan.
Perdana Menteri berkata, beliau sering dinasihatkan supaya bercakap dengan lebih tenang dan menyantuni rakyat selepas memegang jawatan sebagai Perdana Menteri.
Namun, katanya, ada ketika beliau perlu meluahkan pandangan dengan tegas terutama apabila menyentuh perkara yang menyentuh hati nurani dan tanggungjawab terhadap negara.
“Saya mohon maaf sekiranya nada tinggi sedikit. Banyak orang pesan kepada saya, awak sudah jadi Perdana Menteri, kamu tidak boleh tinggikan suara. Kamu kena cakap tenang dan baik serta menyantuni rakyat.
“Saya cuba, kadang-kadang bila menyentuh soal hati nurani. Saya mohon maaf kalau itu bukan wajar seorang Perdana Menteri. Saya tidak tahu Perdana Menteri itu perlu tenang. Tak, tak.,” katanya pada Sesi Santai Mesra Perdana Menteri bersama Penjawat Awam Zon Tengah di Dewan Sultan Idris Shah, Universiti Islam Selangor (UIS), hari ini.
Anwar berkata, teguran yang disampaikan itu bukan bertujuan untuk memarahi penjawat awam, sebaliknya kerana beliau melihat mereka sebagai jentera penting dalam menjayakan agenda pembangunan negara.
“Kalau dianggap kesilapan saya mohon maaf, tapi percayalah, saya luahkan apa yang saya rasa kepada siapa lagi saya nak luahkan kalau tidak kepada anak buah saya, jentera yang boleh menjayakan program negara kita,” katanya. – UTUSAN










