Anthony Loke sangkal dakwaan jadi calon MB

Anthony Loke sangkal dakwaan jadi calon MB

Anthony Loke Siew Fook
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menyifatkan kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang mengaitkan DAP dan beliau sebagai calon Menteri Besar Negeri Sembilan sebagai dakwaan berniat jahat.

Ahli Parlimen Seremban itu berkata, dakwaan berkenaan hanya dimainkan oleh pihak lawan bagi memburukkan Pakatan Harapan (PH).

Katanya, PH hanya mempunyai seorang calon Menteri Besar Negeri Sembilan iaitu Datuk Seri Aminuddin Harun yang kini bertanding di DUN Linggi.

“Calon Menteri Besar untuk Negeri Sembilan amat jelas dalam Undang-Undang Tubuh Negeri, iaitu seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melayu yang beragama Islam.

“Saya tidak memenuhi syarat kelayakan tersebut. Itu hanyalah cakap-cakap jahat daripada pihak yang melawan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri program Lawatan Kerja Projek Siap bagi Projek Kerja-Kerja Pemulihan, Naik Taraf Landasan Kereta Api dan Kerja-Kerja Berkaitan antara Gemas, Negeri Sembilan hingga Stesen Kereta Api Mentakab, Pahang, hari ini.

Semalam, Asyraf Wajdi mempersoalkan siapakah yang akan dilantik sebagai calon Menteri Besar daripada PH sekiranya Aminuddin tewas dalam pilihan raya negeri kali ini di Linggi.

Beliau kemudian membangkitkan persoalan sama ada rakyat Negeri Sembilan mahu DAP dan Anthony Loke menjadi Menteri Besar. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN