Masih ramai yang beranggapan bahawa angkasa hanyalah mengenai roket, satelit atau angkasawan.
Hakikatnya, kita semua bergantung kepada teknologi angkasa setiap hari. Daripada navigasi sistem penentu kedudukan global (GPS), perbankan dalam talian, ramalan cuaca, siaran televisyen sehinggalah komunikasi internet, hampir semuanya disokong oleh satelit yang mengorbit Bumi.
Dalam erti kata lain, walaupun kita tidak pernah menjejakkan kaki ke angkasa, angkasa telah menjadi sebahagian daripada kehidupan moden dan menyokong hampir setiap aspek kehidupan harian kita.
Peranan angkasa menjadi lebih ketara ketika dunia berdepan pelbagai krisis.
Data satelit membantu menyelaras bantuan selepas tsunami Lautan Hindi 2004, memantau perubahan aktiviti ekonomi semasa pandemik Covid-19 dan menyokong komunikasi serta navigasi dalam konflik antarabangsa.
Teknologi angkasa kini bukan lagi sekadar platform penyelidikan saintifik, tetapi telah berkembang menjadi infrastruktur strategik yang menyokong keselamatan negara, ekonomi, pengurusan bencana, pemantauan alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat.
Ia merupakan “invisible backbone” yang menggerakkan pelbagai sistem penting dunia tanpa disedari oleh kebanyakan orang.
Apabila pergantungan kepada teknologi angkasa semakin meningkat, keperluan terhadap tadbir urus dan perundangan yang kukuh juga menjadi semakin penting.
Hari ini, ribuan satelit aktif mengelilingi Bumi bersama jutaan serpihan objek angkasa yang meningkatkan risiko pelanggaran, gangguan operasi dan ancaman keselamatan.
Negara-negara maju memahami bahawa pembangunan teknologi mesti disertai dengan sistem kawal selia yang jelas bagi memastikan aktiviti angkasa dilaksanakan secara selamat, bertanggungjawab dan mampan.
Malaysia turut mengambil langkah proaktif melalui penguatkuasaan penuh Akta Lembaga Angkasa Malaysia 2022 [Akta 834] pada 1 Januari 2025 serta penyertaan dalam triti-triti angkasa utama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Pada pandangan saya, langkah ini bukan sekadar memenuhi komitmen antarabangsa, malah menjadi asas kepada pembinaan ekosistem angkasa negara yang diyakini pelabur, melindungi kepentingan negara dan menyokong pembangunan industri angkasa yang lebih berdaya saing.
Perundangan yang baik bukan bertujuan menghalang inovasi, sebaliknya menyediakan persekitaran yang selamat dan kondusif untuk inovasi terus berkembang.
Dalam dekad akan datang, ekonomi angkasa dijangka menjadi antara sektor pertumbuhan baharu dunia.
Namun kejayaan sesebuah negara tidak lagi diukur semata-mata melalui jumlah satelit yang dimiliki atau keupayaan melancarkan roket.
Keupayaan membina institusi yang kukuh, dasar yang jelas dan sistem tadbir urus yang berkesan akan menjadi faktor utama yang menentukan daya saing sesebuah negara dalam ekonomi angkasa global.
Perubahan ini turut membuka dimensi baharu kepada peluang kerjaya. Bidang angkasa bukan lagi eksklusif kepada saintis dan jurutera.
Kita semakin memerlukan pakar dalam bidang perundangan angkasa, tadbir urus, dasar awam, ekonomi, pengurusan risiko, hubungan antarabangsa dan kawal selia bagi memastikan pembangunan sektor angkasa berlangsung secara selamat, beretika dan mematuhi undang-undang antarabangsa.
Profesion seperti pegawai kawal selia angkasa, peguam angkasa, penganalisis dasar angkasa dan pakar tadbir urus angkasa dijangka menjadi antara kerjaya strategik pada masa hadapan.
Saya percaya Malaysia mempunyai asas yang kukuh untuk muncul sebagai negara yang dihormati dalam sektor angkasa, bukan sahaja melalui pembangunan teknologi tetapi juga melalui kepimpinan dalam tadbir urus dan perundangan angkasa.
Legasi sebenar yang perlu kita bina ialah sebuah ekosistem angkasa yang selamat, bertanggungjawab, mampan dan memberi manfaat kepada rakyat.
Pada akhirnya, kekuatan sesebuah negara angkasa bukan sekadar diukur melalui kecanggihan teknologinya, tetapi melalui keupayaannya mengimbangi inovasi dengan tadbir urus yang baik demi kesejahteraan generasi masa hadapan.
Dr. Mhd. Fairos Asillam
Penguasa Angkasa
Bahagian Penguasa Angkasa
Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi (MOSTI)










