Anggaran KDNK 5.8 peratus bukti ekonomi negara kekal kukuh

Anggaran KDNK 5.8 peratus bukti ekonomi negara kekal kukuh

CYBERJAYA 17 JULAI 2026 - Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berucap pada Sesi Libat Urus Ekosistem Pemula Teraju: Suara, Visi dan Aspirasi di Cyberview Resort & Spa, Cyberjaya di sini, hari ini. GAMBAR : FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir menyifatkan anggaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.8 peratus pada suku kedua tahun ini sebagai petunjuk ekonomi negara kekal kukuh walaupun berdepan pelbagai cabaran global.

Beliau berkata, anggaran awal yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) itu turut mencerminkan keberkesanan langkah intervensi kerajaan dalam mengurangkan kesan krisis terhadap kegiatan ekonomi negara.

“Sudah pasti kita menyambut baik apabila pertumbuhan itu mencatatkan 5.8 peratus selepas 5.4 peratus yang telah berlaku pada suku pertama.

“Apabila kita melihat pertumbuhan ekonomi itu, ia bertumbuh berasaskan asas daripada tempoh sebelumnya. Jadi, itu menunjukkan ekonomi negara masih kuat ataupun kukuh,” katanya menerusi sidang akhbar selepas Sesi Libat Urus Ekosistem Pemula Teraju: Suara, Visi dan Aspirasi di sini hari ini. 

Terdahulu, media melaporkan KDNK Malaysia pada suku kedua dijangka kekal berdaya tahan, berkembang sebanyak 5.8 peratus, selepas mencatatkan pertumbuhan 5.4 peratus pada suku sebelumnya. 

Menurut DOSM, unjuran itu disokong peningkatan dalam hampir semua sektor ekonomi kecuali pertanian yang mengalami penyusutan.

Mengulas lanjut, Akmal berkata, pencapaian tersebut turut memberi gambaran bahawa pelbagai intervensi yang dilaksanakan kerajaan berjaya meredakan kebimbangan serta gangguan ketara terhadap kegiatan ekonomi.

“Pada masa sama, ia juga memberi gambaran bahawa intervensi yang kita lakukan itu dapat meredakan kebimbangan ataupun gangguan yang sangat ketara dari segi kegiatan ekonomi.

“Sejak awal berlakunya konflik sehingga sepanjang konflik itu berlaku, kerajaan menilai situasi tersebut melalui mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) secara mingguan. Daripada MTEN itulah kita membuat beberapa keputusan untuk terus memastikan perkara itu dilihat,” katanya.

Jelasnya, antara langkah yang dilaksanakan termasuk memastikan bekalan minyak negara kekal terjamin, mengurus impak kenaikan harga supaya tidak membebankan rakyat serta mengelakkan gangguan bekalan input yang boleh menyebabkan operasi industri terjejas.

“Alhamdulillah sehingga hari ini tidak berlaku putus bekalan di peringkat negara. Dari segi harga, kita perlu menguruskannya dan memastikan ia tidak membebankan rakyat secara terlalu ketara. 

“Seterusnya, kita juga melihat dari segi intervensi untuk mengelakkan berlakunya penutupan mana-mana industri kerana gangguan bekalan input. Perkara itu kita berjaya atasi bagi mengurangkan kesan yang lebih ketara,” katanya.

Bagaimanapun, beliau turut mengingatkan semua pihak agar tidak terlalu selesa memandangkan konflik global masih belum menunjukkan tanda-tanda akan berakhir.

“Konflik itu belum ada tanda-tanda pengakhiran yang jelas. Ketegangan itu boleh berlaku pada bila-bila masa dan boleh memuncak dalam keadaan yang begitu pantas. Maka sebab itu kita perlu terus berwaspada dengan apa-apa cabaran yang boleh berlaku. Tetapi setakat ini, pertumbuhan itu mencerminkan aktiviti ekonomi negara masih berlangsung dengan baik,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN