'Anak tidak pernah ke kawasan itu sebelum ini’ - Utusan Malaysia

‘Anak tidak pernah ke kawasan itu sebelum ini’

POLIS menjalankan siasatan di lokasi dua pelajar perempuan dipercayai terjatuh di kawasan perumahan kosong sebuah flat di Sungai Pari, Buntong kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Pilu hati seorang ibu melihat jasad anak perempuannya ditemukan maut bersama seorang rakan di kawasan perumahan kosong di sebuah flat di Sungai Pari, Buntong di sini kelmarin.

Ibu mangsa yang hanya mahu dikenali Seela, 36, berkata, sukar menerima hakikat itu kerana hanya beberapa jam sebelum kejadian, dia menghantar mangsa bersama rakannya ke sekolah pada pukul 1 petang.

Katanya, dia tidak tahu me­ngapa anaknya berada di lokasi kejadian kerana remaja itu tidak pernah ke kawasan ber­kenaan sebelum ini.

“Saya hantar mereka ke sekolah tadi tapi pada pukul 4.50 petang, saya terima panggilan telefon yang beritahu dia (mang­sa) berada di sini (kawasan perumahan kosong).

“Saya sempat tengok kea­daan dia, masih memakai baju PJ (pendidikan jasmani), pakaian sama seperti saya hantar ke sekolah tadi,” katanya ditemui di lokasi kejadian.

Menurut Seela, anak kedua daripada tiga beradik itu bukan sahaja tidak menunjukkan perubahan sikap malah tidak pernah mengadu apa-apa masalah berkaitan sekolah.

“Anak pendiam sedikit tetapi sepanjang pengetahuan saya, semua hal sekolah dan pelajarannya dalam keadaan baik.

“Selama ini, setiap hari pergi dan balik sekolah, saya hantar dan jemput. Tak sangka perkara begini boleh berlaku terhadap anak saya,” katanya.

Media melaporkan pene­muan mayat dua remaja pe­rempuan berusia 14 tahun oleh seorang pengawal keselamatan ketika melakukan rondaan di kawasan flat berkenaan.

Mangsa yang dipercayai terjatuh dari tingkat atas bangunan itu merupakan rakan baik dan bersekolah pada sesi petang.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin dalam kenyataannya berkata, polis menerima laporan berhubung penemuan mayat kedua-dua mangsa di kawasan Flat Sungai Pari pada pukul 5 petang.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa dipercayai meninggalkan kawasan sekolah secara sukarela sebelum ditemukan tidak sedarkan diri di lokasi kejadian.

“Setakat ini siasatan tidak menemukan sebarang ketera­ngan menunjukkan pengliba­tan mana-mana pihak lain dalam kejadian tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN