Anak muda mahu berkahwin tapi tiada duit

Anak muda mahu berkahwin tapi tiada duit

ROHANI Abdul Karim (tengah), melancarkan Majlis Perasmian Sambutan Hari Penduduk Sedunia 2026 di AIAC, Bangunan Sulaiman Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Golongan muda masih mahu berkahwin dan membina keluarga, namun berdepan pelbagai cabaran termasuk kekangan ekonomi, kos sara hidup, pekerjaan, perumahan serta masalah kesuburan yang menyukarkan hasrat berkenaan direalisasikan.

Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, golongan muda tidak menolak perkahwinan, sebaliknya mereka memerlukan persekitaran yang lebih meyakinkan bagi merealisasikan impian membentuk keluarga.

“Tanggungjawab kerajaan bukan untuk menentukan pilihan keluarga mereka, tetapi memastikan setiap pilihan dapat dibuat secara bermaklumat, bebas daripada tekanan serta disokong oleh peluang ekonomi dan sosial yang lebih baik.

“Golongan muda tidak menolak perkahwinan, bukan menolak hubungan atau keluarga. Aspirasi mereka masih kuat, namun keadaan yang diperlukan untuk merealisasikan aspirasi tersebut semakin sukar untuk diteruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Penduduk Sedunia 2026 bagi mewakili Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, hari ini.

Menurut Rohani, keadaan berubah dengan cepat berikutan kadar kesuburan yang semakin menurun, populasi semakin berusia serta perubahan struktur keluarga.

Beliau berkata, pada masa sama, golongan muda mengambil masa lebih lama untuk mendapatkan pekerjaan stabil, pendapatan dan kebebasan kewangan sebelum membentuk keluarga.

Katanya, berdasarkan Tinjauan UNFPA Demographic Futures Survey 2026 yang melibatkan lebih 100,000 individu berumur 18 hingga 39 tahun di 73 negara dan kawasan menunjukkan kebanyakan golongan muda masih belum menolak perkahwinan.

“Lebih daripada dua pertiga menyatakan mereka secara idealnya mahu berkahwin atau tinggal bersama pasangan, sementara sekitar 90 peratus ingin mempunyai seorang anak.

“Namun, keselamatan kewangan, pekerjaan stabil, kos penjagaan yang tinggi dan kesejahteraan emosi mempengaruhi keputusan mereka.

“Dapatan itu menunjukkan bukan berlaku kehilangan minat terhadap kehidupan keluarga, tetapi wujud jurang antara keluarga yang diharapkan golongan muda dengan apa yang mereka percaya mampu dicapai dan dipertahankan,” katanya.

Tambah beliau, dapatan kajian pendapat awam dan tinjauan Tabung Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) menunjukkan golongan muda masih berhasrat membina keluarga, namun memerlukan ekosistem yang lebih menyokong.

Katanya, kadar kesuburan keseluruhan atau Total Fertility Rate (TFR) Malaysia kini berada pada paras 1.6 peratus, iaitu di bawah kadar penggantian penduduk 2.1 peratus.

“Namun, keadaan ini bukan hanya berlaku di Malaysia, malah merupakan trend global misalnya Korea Selatan yang merekodkan kadar kesuburan jauh lebih rendah iaitu 0.9 peratus,” katanya.

Trend sama turut direkodkan di Malaysia apabila Kaji Selidik Persepsi Awam LPPKN mendapati 90.9 peratus responden bujang berhasrat untuk berkahwin, manakala 91.1 peratus mahu memiliki anak pada masa hadapan.

Dalam kalangan pasangan yang telah berkahwin pula, 33.8 peratus masih berhasrat menambah cahaya mata dengan purata saiz keluarga yang diinginkan ialah 2.8 orang anak.

“Bagaimanapun, sebanyak 17.6 peratus responden mengakui gagal mencapai bilangan anak yang diinginkan berikutan kekangan pendapatan isi rumah, peningkatan kos sara hidup, tekanan pekerjaan, masalah kesuburan dan faktor kesihatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN