PETALING JAYA: Penyanyi dan pelakon, Amy Mastura, mengumumkan mengambil keputusan untuk bercuti daripada bidang nyanyian bagi memberi tumpuan kepada pengajian agama dan aktiviti kerohanian.
Amy atau Amy Mastura Suhaimi, 55, berkata, keputusan itu dibuat secara berperingkat sejak beberapa tahun belakangan ini sehingga mendorongnya menolak semua tawaran persembahan nyanyian, termasuk konsert.
“Dari segi nyanyian, saya bercuti buat masa ini. Saya nekad mahu belajar mengenai agama, kumpulkan ilmu yang perlu dan lihatlah nanti ke mana hala tuju saya selepas ini.
“Keputusan ini datang secara perlahan-lahan. Saya mahu belajar semula perkara asas seperti fardu ain dan sebagainya.
“Selama ini saya datang daripada latar belakang industri yang sentiasa menyanyi, jadi sekarang masanya untuk memberi ruang kepada diri sendiri mendalami ilmu agama,” katanya.
Amy berkata demikian pada sidang media drama Ate Kome, I Love You di Sunway Pyramid, di sini, pada Jumaat.
Mengulas mengenai pandangan bahawa suara wanita sering dikaitkan sebagai aurat dalam Islam, Amy tidak menafikan perkara itu antara faktor yang mendorongnya berehat daripada dunia nyanyian.
“Lebih kurang begitulah sebabnya saya mengambil keputusan untuk tidak menyanyi buat masa ini.
“Tetapi saya tidak berani mengulas lebih lanjut kerana bimbang disalah tafsir. Berilah peluang kepada saya untuk belajar sedikit demi sedikit,” katanya.
Menurut Amy, sepanjang tempoh itu dia telah menolak pelbagai undangan persembahan, termasuk tawaran menganjurkan konsert.
“Ada persembahan di majlis-majlis yang saya tolak, konsert pun ada. Saya menolaknya dengan cara yang baik dan berharap mereka memahami keputusan saya.
“Kepada peminat yang merindui saya, bolehlah terus mendengar lagu-lagu saya di Spotify. Saya masih ada, tidak ke mana. Kalau rindu, kita masih boleh berjumpa di majlis atau pertemuan kelab peminat,” katanya.
Bagaimanapun, Amy menegaskan kerjaya lakonannya tetap diteruskan seperti biasa.
Terbaharu, dia membintangi drama romantik komedi Ate Kome, I Love You sebagai Jenab, watak yang memerlukannya bertutur sepenuhnya dalam loghat Perak.
“Dalam drama ini saya membawa watak seorang ibu. Ini kali pertama saya berlakon menggunakan loghat Perak yang pekat. Agak mencabar kerana walaupun berasal dari Perak, saya sudah lama menetap di luar negeri itu.
“Dialek saya sudah bercampur-campur. Mujur kru produksi banyak membantu mengingatkan saya semula cara pertuturan orang Perak. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar,” katanya.
Drama Ate Kome, I Love You mengisahkan Mila dan Daniel yang bermusuhan sejak kecil akibat mewarisi persengketaan antara ibu masing-masing.
Namun, hubungan itu berubah apabila perasaan cinta mula berputik, sekali gus mendorong mereka menamatkan permusuhan yang berlarutan sekian lama.
Drama bersiri 12 episod itu kini ditayangkan menerusi platform penstriman Viu.










