PETALING JAYA: Pelakon dan pengacara, Amelia Henderson, menafikan dakwaan kononnya dia mempunyai obsesi terhadap parti politik tertentu gara-gara mengundang beberapa figura sebagai tetamu podcast miliknya, Studio Sembang.
Tampil memperincikan situasi sebenar, Amelia atau Amelia Thripura Henderson, 30, menjelaskan pemilihan tetamu berkenaan dibuat berdasarkan profil dan impak besar mereka dalam landskap negara, bukannya atas ideologi politik.
“Tiada istilah obses. Mereka kebetulan pernah menjadi sebahagian daripada parti Barisan Nasional, Datuk Seri Ismail Sabri adalah bekas Perdana Menteri manakala Khairy Jamaluddin pula seorang individu yang mempunyai pelbagai bakat dan kini turut terlibat dalam industri hiburan.
“Saya tidak dibayar untuk menjemput mereka sebagai tetamu. Mereka adalah rakyat Malaysia yang tidak boleh dinafikan ketokohan dan pengaruhnya,” tegas Amelia ketika membalas sebuah video di ruangan komen.
Tambah pelakon Blood Brothers itu lagi, pihaknya sentiasa terbuka mengundang figura daripada parti berbeza asalkan mempunyai impak yang baik kepada negara.
Bagaimanapun, Amelia menjelaskan bahawa proses jemputan tersebut bukanlah semudah yang disangka kerana ia bergantung kepada persetujuan pihak yang diundang.
“Saya teringin untuk menampilkan lebih ramai tetamu daripada parti politik berbeza. Percayalah, saya dan pasukan telah menghubungi ramai pihak di belakang tabir, namun mereka juga perlu memberikan persetujuan (untuk hadir).
“Sekarang ini, saya sedang menaruh harapan untuk membawa PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim) ke Studio Sembang. Jadi, harap peminat dapat doakan impian ini tercapai,” katanya lagi.
Terdahulu tular sebuah video mempersoalkan tindakan Amelia Henderson yang mengundang figura politik sekali gus mengaitkan pelakon itu dengan ketaksuban kepada parti politik tertentu. -UTUSAN










