KUALA LUMPUR: Landskap seni kontemporari negara memasuki dimensi baharu menerusi pembukaan rasmi pameran Algorithmic Organisms 2.0, pengalaman seni audiovisual imersif pertama seumpamanya yang menggabungkan teknologi kecerdasan buatan (AI) dengan ekspresi kreatif.
Pameran yang berlangsung di The Grey Box, GMBB Kuala Lumpur bermula hari ini hingga 19 Julai itu mengangkat konsep penceritaan ruang menerusi gabungan visual generatif, bunyi imersif serta hidupan digital yang sentiasa berubah secara masa nyata.
Dianjurkan Jazzy Group of Companies dan dipersembahkan oleh MAISEAT dengan sokongan Balai Seni Negara serta Kedutaan Besar Kerajaan Belanda, pameran berkenaan menampilkan karya seniman audiovisual antarabangsa, Ray Tijssen atau lebih dikenali sebagai 0010×0010.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Jazzy Group of Companies, Joanne Goh berkata, pihaknya komited membawa lebih banyak pengalaman kreatif bertaraf dunia ke Malaysia sekali gus memperluaskan landskap seni digital tempatan.
Menurut beliau, Algorithmic Organisms 2.0 bukan sekadar pameran seni biasa, sebaliknya menawarkan pengalaman interaktif yang mengubah cara masyarakat melihat dan menikmati sesebuah karya.
“Lebih daripada sebuah pameran konvensional, ia mengajak pengunjung melangkah ke dalam sebuah persekitaran audiovisual yang hidup, di mana imejan yang dijana oleh AI, bunyi imersif dan hidupan digital sentiasa berubah serta berkembang dalam masa nyata.
“Ia mencabar cara kita menikmati seni, bukan lagi sebagai pemerhati pasif, tetapi sebagai sebahagian daripada karya itu sendiri,” katanya pada majlis pelancaran pameran itu di sini hari ini.

Sementara itu, Tijssen berkata, setiap karya yang dihasilkannya bermula daripada elemen bunyi sebelum diterjemahkan kepada visual, sekali gus mewujudkan suasana yang menjadi asas kepada keseluruhan pengalaman seni tersebut.
Beliau berkata, penggunaan AI membuka ruang baharu dalam dunia seni kerana kreativiti manusia secara konvensional telah diterokai secara meluas selama lebih satu abad.
“Saya merasakan sebagai manusia, kita telah menggunakan 100 peratus buatan manusia dan ia telah berada pada tahap maksimum kerana kita sudah melakukannya selama lebih 100 tahun.
“Teknologi ini membolehkan kita membawa seni ke satu tahap yang lebih tinggi,” katanya.
Tijssen mula meneroka potensi AI sejak 2020 sebelum menggunakan teknologi itu secara lebih meluas dua tahun kemudian, sekali gus membawa kepada penganjuran pameran solo pertamanya di W1, London.
Sebagai sebahagian daripada pengisian program, beliau turut mengendalikan sesi Machine Vision & Human Expression: An Interactive Masterclass with 0010×0010 di Balai Seni Negara hari ini dengan yuran penyertaan RM25.
Pameran Algorithmic Organisms 2.0 dibuka kepada orang ramai dengan harga tiket RM49 bagi kategori standard dan RM34 untuk pelajar menerusi platform MAISEAT, Klook serta CloudJoi, manakala pengunjung GMBB boleh menikmati promosi khas RM35 dengan menebus resit pembelian pada hari yang sama tanpa perbelanjaan minimum. – UTUSAN










