Aktiviti mencandat berakhir tragedi

Aktiviti mencandat berakhir tragedi

BOT membawa 12 individu terdiri daripada pelanggan yang menyertai aktiviti mencandat sotong bersama seorang tekong dilaporkan karam, sembilan batu nautika dari Kuala Nerus, Terengganu. - IHSAN POLIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Kegembiraan sekumpulan kaki pancing melakukan aktiviti mencandat sotong bertukar tragedi apabila bot yang mereka naiki karam kira-kira sembilan batu nautika dari Kuala Nerus, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu, seorang mangsa, Ahmad Nasaruddin Mohmad Jalil, 37 maut manakala tiga lagi cedera sementara kaki pancing lain dapat diselamatkan.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada pukul 9.02 malam sebelum menggerakkan anggota ke lokasi.

Katanya, bot berkenaan mem­bawa 12 individu terdiri daripada pelanggan yang menyertai aktiviti mencandat sotong bersama seorang tekong sebelum dilaporkan karam di tengah laut.

“Seorang mangsa disahkan meninggal dunia manakala tiga lagi mengalami kecederaan iaitu Faris Ibrahim, Ahmad Danial Iman dan Fatin Fariesya Rohaizan.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Pengajar Universiti Sultan Zainal Abidin (HPUniSZA) untuk tindakan lanjut manakala tiga mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) bagi mendapatkan rawatan,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia semalam.

Azli berkata, pasukan penyelamat yang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Kementerian Kesihatan (KKM) digerakkan ke lokasi sejurus selepas menerima laporan.

“Polis Marin mengesahkan lokasi kejadian berada di kawasan perairan daerah Gong Badak. Punca bot karam masih dalam siasatan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN