SEREMBAN: Seorang aktivis direman selama dua hari bagi membantu siasatan berhubung kes ugutan menerusi media sosial yang berlaku pada Mac lalu.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, perintah reman terhadap lelaki berusia 33 tahun itu bermula hari ini hingga esok itu dikeluarkan mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.
Menurutnya, perintah reman tersebut dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Majistret Seremban, Naeilah Nikrul Tarmizi, pagi tadi.
“Suspek ditahan bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.
Terdahulu, suspek tiba di pekarangan Mahkamah Majistret Seremban kira-kira pukul 9.40 pagi dengan menaiki van polis.
Lelaki yang diburu polis tersebut dilaporkan menyerahkan diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson semalam selepas melarikan diri ke luar negara.
Lelaki itu menyerah diri kira-kira pukul 12.45 tengah hari semalam selepas polis mengesannya berhubung laporan yang dibuat oleh seorang lelaki pada 10 Mac lalu yang mendakwa diugut menerusi Facebook.
Siasatan polis sebelum ini mendapati usaha mengesan suspek telah dijalankan di sekitar Kajang, Selangor namun lelaki terbabit dipercayai melarikan diri ke Thailand melalui pintu sempadan Bukit Kayu Hitam pada 9 Mac.
Hasil siasatan lanjut mendapati suspek berada di Thailand selama lebih empat bulan sebelum kembali ke negara ini melalui laluan tidak sah di sempadan Kelantan.
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberitahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengemukakan permohonan kepada Polis Antarabangsa (Interpol) pada 8 Jun lalu bagi mengeluarkan notis merah terhadap aktivis, Tamim Dahri Abdul Razak yang dipercayai berada di luar negara bagi mengesan serta membawanya pulang ke Malaysia untuk membantu siasatan kes provokasi agama. – UTUSAN










