AIM25: Kategori baharu diwujudkan bukan atas permintaan penaja - Rosmin - Utusan Malaysia

AIM25: Kategori baharu diwujudkan bukan atas permintaan penaja – Rosmin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penganjur Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-25 menegaskan kategori baharu, Lagu Borneo Terbaik, diwujudkan bukan atas permintaan penaja, sebaliknya bagi memberi pengiktirafan lebih luas kepada karya penggiat muzik dari Sabah dan Sarawak.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM25, Rosmin Hashim berkata, lagu-lagu yang menggunakan bahasa dan dialek Sabah serta Sarawak sebelum ini kurang mendapat ruang untuk diketengahkan di peringkat nasional.

“Kategori ini terbuka kepada penulis lagu dan penyanyi dari Sabah dan Sarawak merangkumi pelbagai genre, termasuk lagu yang menggunakan bahasa serta dialek Borneo.

“Kita mahu memberi lebih banyak ruang untuk mengetengahkan karya dari dua negeri ini. Kita tahu Sabah dan Sarawak mempunyai pelbagai karya berkualiti, termasuk muzik pop dan etnik.

“Namun, sebelum ini peluang untuk karya-karya berkenaan menyerlah di pentas AIM agak terhad,” katanya pada sidang media AIM25 di Volume KL, di sini, semalam.

Mengulas perbezaan kategori berkenaan dengan Lagu Etnik Terbaik, Rosmin berkata, pemilihan kategori bergantung kepada pertimbangan pengkarya sendiri.

“Mereka perlu memilih satu kategori sahaja. Walaupun berasal dari Sabah atau Sarawak, jika mereka merasakan karya lebih sesuai dipertandingkan dalam kategori Lagu Etnik Terbaik, mereka boleh berbuat demikian.

“Bagaimanapun, karya yang sama tidak boleh dipertandingkan dalam kedua-dua kategori.

“Ada kalanya penyanyi tidak pasti kategori yang paling sesuai untuk lagu mereka. Contohnya lagu hip hop yang mungkin sukar diklasifikasikan. Jadi, mereka perlu membuat pilihan berdasarkan kategori yang dirasakan paling tepat,” katanya.

Sementara itu, buat julung kali AIM akan dianjurkan di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), Sarawak, pada 26 September depan.

Penganjuran AIM25 di Sarawak mendapat sokongan Kementerian Komunikasi menerusi Dana Kandungan Kreatif (DKK) melalui MyCreative Ventures, selain Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) serta TV Sarawak (TVS) sebagai penyiar rasmi dan rakan penganjur.

Bagi memperkukuhkan pembangunan industri muzik tempatan, Kementerian Komunikasi meningkatkan peruntukan DKK kepada RM950,000 bagi AIM25 berbanding RM700,000 pada tahun lalu.

Pemenang bagi 15 kategori akan menerima geran DKK berjumlah RM50,000 setiap seorang, manakala pemenang kategori Album Terbaik bakal menerima geran bernilai RM200,000.

Sebanyak 15 kategori dipertandingkan iaitu Lagu Terbaik, Artis Baharu Terbaik, Lagu Nasyid Terbaik, Lagu Etnik Terbaik, Lagu Tradisional Terbaik, Lagu Perpaduan Terbaik, Lagu Inggeris Tempatan Terbaik, Lagu Cina Tempatan Terbaik, Lagu India Tempatan Terbaik, Video Muzik Terbaik, Lagu Electronic Pop/Dance Terbaik, Lagu Rock Terbaik, Lagu Hip Hop Terbaik, Lagu Borneo Terbaik dan Album Terbaik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN