AIM25: Ajai ketua juri, perkenal dua kategori baharu - Utusan Malaysia

AIM25: Ajai ketua juri, perkenal dua kategori baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25) memperkenalkan dua kategori baharu iaitu Lagu Borneo Terbaik dan Lagu Perayaan Terbaik.

Menurut Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM24, Rosmin Hashim berkata, kategori ini diperkenalkan bagi membawa semangat inklusiviti dalam landskap industri muzik tempatan.

“Kami dengan bangganya memperkenalkan dua kategori anugerah baharu tahun ini
Lagu Borneo Terbaik sebagai pengiktirafan kepada karya-karya muzik yang meraikan kekayaan budaya, bahasa, tradisi dan identiti unik Sabah dan Sarawak.

“Manakala kategori Lagu Perayaan Terbaik pula diperkenalkan bagi meraikan karya-karya muzik bertemakan pelbagai perayaan di Malaysia serta mencerminkan nilai perpaduan, keharmonian dan kepelbagaian budaya negara kita.

“Dengan penambahan ini, AIM25 kini merangkumi sebanyak 33 kategori anugerah julat terbesar dalam sejarah AIM,” katanya ketika majlis sidang media AIM25 di Volume KL, di sini pada Khamis.

Sementara itu, Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) turut mengumumkan penganjuran AIM25 buat julung kalinya bakal diadakan di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), Sarawak pada 26 September ini.

Acara berprestij ini turut disokong Kementerian Komunikasi menerusi Geran Digital Content Fund (DKK) melalui MyCreative Ventures, Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Persembahan Sarawak (MTCP) serta TVS sebagai Penyiar Rasmi dan Rakan Kongsi Penganjur.

Proses penilaian pencalonan akan dilakukan oleh panel juri terdiri daripada pengamal industri muzik tempatan yang berpengalaman serta pakar daripada pelbagai bidang berkaitan.

Barisan juri akan diketuai oleh Ketua Hakim, Ajai, manakala keputusan akhir akan melalui proses audit oleh juruaudit bebas sebelum diumumkan.

Penerima Anugerah Sri Wirama akan ditentukan oleh Ahli Majlis RIM manakala keputusan lima calon terakhir dijangka diumum pada September.

Bagi memperkukuhkan pembangunan industri muzik tempatan, Kementerian Komunikasi menerusi Dana Kandungan Kreatif (DKK) meningkatkan peruntukan untuk AIM25 kepada RM950,000, berbanding RM700,000 pada AIM24.

Pemenang bagi 15 kategori iaitu Lagu Terbaik, Artis Baharu Terbaik, Lagu Nasyid Terbaik, Lagu Etnik Terbaik, Lagu Tradisional Terbaik, Lagu Perpaduan Terbaik, Lagu Inggeris Tempatan Terbaik, Lagu Cina Tempatan Terbaik, Lagu India Tempatan Terbaik, Video Muzik Terbaik, Lagu Electronic Pop/Dance Terbaik, Lagu Rock Terbaik, Lagu Hip Hop Terbaik, Lagu Pop Terbaik dan Lagu Runut Bunyi (OST) Terbaik dalam Filem/Drama akan menerima geran DKK sebanyak RM50,000 setiap satu, manakala pemenang kategori Album Terbaik Tahun Ini bakal menerima geran berjumlah RM200,000.

Selain itu, AIM25 turut menerima sokongan geran RM1 juta daripada MTCP Sarawak sebagai tanda komitmen dalam memperkasa industri kreatif serta menjadikan Sarawak sebagai lokasi penting bagi acara seni dan budaya berskala besar.

Penamaan bagi AIM25 dibuka kepada karya muzik yang diterbitkan antara 1 Januari hingga 31 Disember 2025, melibatkan lagu atau album dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina dan Bahasa India. Proses penyerahan pencalonan bermula 16 Julai 2026 hingga 6 Ogos 2026 menerusi laman rasmi AIM.

Berikut merupakan 33 kategori penuh AIM25 edisi kali ini:

Kategori Utama:

1. Artis Baharu Terbaik
2. Vokal Lelaki Terbaik
3. Vokal Wanita Terbaik
4. Vokal Kumpulan Terbaik
5. Kumpulan (Band) Terbaik
6. Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik
7. Video Muzik Terbaik
8. Lagu Tema Terbaik Dalam Filem/Drama
9. Lagu Rock Terbaik
10. Lagu Pop Terbaik
11. Lagu Rap/Hip Hop Terbaik
12. Lagu Pop Elektronik/Dance Terbaik
13. Lagu Tempatan Bahasa Inggeris Terbaik
14. Lagu Tempatan Bahasa Cina Terbaik
15. Lagu Tempatan Bahasa India Terbaik
16. Lagu Melayu Terbaik Dipersembahkan Oleh Artis Antarabangsa
17. Kolaborasi Terbaik Oleh Artis Tempatan Dan Artis/Penggubah Antarabangsa
18. Lagu Nasyid Terbaik
19. Lagu Etnik Terbaik
20. Lagu Perpaduan Terbaik
21. Lagu Tradisional Terbaik
22. Lagu Borneo Terbaik
23. Album Terbaik Tahun Ini
24. Lagu Terbaik Tahun Ini

Anugerah Khas:
25. Anugerah Sri Wirama

Kategori Pra-Anugerah
26. Lagu Perayaan Terbaik
27. Kulit Album Terbaik
28. Kejuruteraan Lagu Terbaik
29. Kejuruteraan Album Terbaik
30. Susunan Muzik Terbaik Dalam Sebuah Lagu
31. Lagu Paling Banyak Distrim
32. Video Muzik Rasmi Paling Banyak Ditonton Di Platform Video Utama
33. Lagu Dengan Video Kreasi Terbanyak Di TikTok

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN