Ahli Parlimen Terengganu keletihan, bukan kena serangan jantung

Ahli Parlimen Terengganu keletihan, bukan kena serangan jantung

AHMAD AMZAD HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim menafikan kejadian beliau hampir pitam ketika berada di Parlimen semalam, berpunca daripada serangan jantung sebaliknya dipercayai akibat keletihan dan tersilap makan.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan di Institut Jantung Negara (IJN) termasuk Ujian Elektrokardiogram (ECG) dan ujian makmal darah, mengesahkan keadaan jantungnya berada dalam keadaan stabil.

Katanya, pengurusan IJN memaklumkan masalah kesihatan yang dialaminya ketika menunggu giliran membahaskan Usul Laporan Tahunan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) 2024 bukan disebabkan serangan jantung.

“Doktor mengesahkan keadaan jantung saya stabil selepas keputusan ECG dan ujian makmal darah diperoleh,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, Ahmad Amzad mengalami pening dan hampir pitam ketika mengikuti sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada persidangan Parlimen sebelum dibawa ke Klinik Parlimen bagi mendapatkan pemeriksaan dan rawatan awal. Beliau kemudiannya dibawa ke IJN untuk menjalani pemeriksaan lanjut.

Ahmad Amzad berkata, keadaan kesihatannya semakin pulih namun beliau dinasihatkan supaya berehat buat sementara waktu di IJN.

“Saya percaya keadaan yang menyebabkan saya hampir pitam itu bukan berpunca daripada penyakit jantung, sebaliknya mungkin akibat keletihan dan tersilap makan. Alhamdulillah, doktor telah mengesahkan ia bukan berkaitan penyakit jantung selepas keputusan ujian darah diperoleh,” katanya.

Beliau berkata, beberapa program yang dijadualkan minggu ini terpaksa ditangguhkan bagi memberi ruang kepadanya berehat dan pulih sepenuhnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN