Ahli Kongres AS gesa Washington nilai semula hubungan dengan Malaysia

Ahli Kongres AS gesa Washington nilai semula hubungan dengan Malaysia

ANWAR Ibrahim dan Donald Trump.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lapan ahli Kongres Amerika Syarikat (AS) menggesa Washington menilai semula hubungan keselamatan dan ekonomi dengan Malaysia termasuk mempertimbangkan penggantungan pembiayaan latihan ketenteraan susulan pendirian tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menghantar pulang mana-mana rakyat Israel yang dikesan berada di negara ini.

Gesaan itu dibuat menerusi sepucuk surat bertarikh 21 Julai yang dihantar kepada Setiausaha Negara AS, Marco Rubio dengan mendakwa pendirian Malaysia terhadap Israel menimbulkan kebimbangan.

Surat berkenaan diketuai Ahli Dewan Perwakilan dari Ohio, Greg Landsman serta ditandatangani Josh Gottheimer, Jimmy Panetta, Dan Goldman, Debbie Wasserman Schultz, Jared Moskowitz, Brad Sherman dan Jake Auchincloss.

Mereka turut menggesa Jabatan Negara AS mempertimbangkan penggantungan pembiayaan di bawah program International Military Education and Training (IMET) sekiranya Malaysia tidak mengubah dasar yang didakwa menyasarkan rakyat Israel dalam tempoh 15 hari.

Mereka mendakwa, kenyataan Anwar bahawa rakyat Israel akan dihantar pulang hanya berdasarkan kewarganegaraan adalah tindakan yang tidak boleh diterima.

“Adalah sama sekali tidak boleh diterima apabila seorang ketua kerajaan secara terbuka menyatakan bahawa negaranya akan memburu dan mengusir rakyat sebuah negara sekutu rapat kami hanya berdasarkan kewarganegaraan mereka.

“Perkara ini tidak sepatutnya dibiayai oleh pembayar cukai Amerika,” katanya.

Ahli Kongres terbabit turut membangkitkan bantuan keselamatan AS kepada Malaysia melalui program IMET yang membiayai latihan profesional anggota Angkatan Tentera Malaysia.

Mereka juga mendakwa, anggota Hamas pernah menjalani latihan di Malaysia berdasarkan laporan sebuah institut penyelidikan anti-keganasan Israel, selain menuduh Putrajaya mengalu-alukan kumpulan pengganas sambil menyasarkan rakyat Israel.

Sehubungan itu, mereka menggesa, Jabatan Negara AS menggunakan saluran diplomatik bagi menyampaikan bahawa bantuan serta sokongan Washington kepada Malaysia perlu disertai jangkaan supaya negara ini tidak mengambil tindakan terhadap rakyat sebuah negara sekutu rapat AS.

“Kami menggesa anda menggunakan setiap saluran yang ada untuk menjelaskan bahawa tindakan ini memberi kesan,” kata mereka.

15 Julai lalu, Anwar menegaskan, mana-mana rakyat Israel yang dikesan berada di negara ini akan diusir serta-merta kerana Malaysia tidak mengiktiraf negara berkenaan.

Sebelum ini, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan pihaknya sudah memulakan siasatan menyeluruh berhubung operasi Network School di Forest City, Johor, termasuk meneliti identiti dan status kewarganegaraan individu yang didakwa terbabit dalam projek berkenaan.

Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel dan pemegang pasport negara itu secara amnya tidak dibenarkan memasuki negara ini tanpa kelulusan khas.

Media semalam melaporkan, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) membatalkan lesen perniagaan Network School serta mengarahkan semua aktivitinya di Forest City dihentikan berkuat kuasa hari ini.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN