Agrobank jalin kerjasama dengan GPPPKMM perluas Agro Penjaja-i - Utusan Malaysia

Agrobank jalin kerjasama dengan GPPPKMM perluas Agro Penjaja-i

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Agrobank memeterai kerjasama strategik bersama Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM) bagi memperluas manfaat inisiatif Agro Penjaja-i kepada komuniti penjaja di seluruh negara.

Langkah berkenaan bertujuan memperkukuh sokongan kepada golongan berkenaan menerusi penyediaan akses kewangan yang lebih inklusif, bimbingan keusahawanan serta penyelesaian digital.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, ramai penjaja mempunyai perniagaan yang berdaya maju, namun masih berdepan kekangan modal dan pengurusan kewangan.

“Bagi penjaja dan peniaga kecil, pembiayaan sahaja tidak mencukupi. Mereka juga memerlukan pengetahuan untuk mengurus kewangan, bimbingan keusahawanan dan kemudahan digital yang praktikal.

“Oleh itu, Agro Penjaja-i menggabungkan sokongan tersebut ke arah perniagaan yang lebih mampan sekali gus membantu mengembangkan perniagaan dan menyumbang kepada ekonomi setempat,” katanya semasa Majlis Makan Malam dan permeteraian kerjasama strategik tersebut di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif Agrobank, Datuk Yunos Abd Ghani dan Presiden GPPPKMM, Datuk Zainal Abidin Datuk Abdul Majid.

Menerusi inisiatif Agro Penjaja-i, usahawan mikro berpeluang menikmati pelbagai kemudahan seperti Skim Pembiayaan Mikro sehingga RM100,000, kemudahan Kredit Cashline-i sehingga RM5,000, serta pembiayaan Ar-Rahnu sehingga RM300,000 dengan kadar keuntungan istimewa serendah RM0.50 sebulan menerusi laluan khas.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya menyasarkan pembukaan lebih daripada 2,000 akaun baharu dalam kalangan penjaja bagi fasa kali ini.

“Bagi bulan-bulan yang akan datang, kami menyasarkan lebih 5,000 akaun dapat dibuka untuk penjaja ini yang berada di seluruh 14 negeri.

“Program ini juga akan membantu meningkatkan peningkatan kemahiran mereka menerusi latihan kewangan dan pemasaran.

“Setakat ini, kami menerima banyak permintaan daripada penjaja yang menerima baik usaha pendigitalan ini kerana ia memudahkan urusan tanpa perlu menggunakan wang tunai atau hadir ke bank semata-mata untuk menyimpan wang,” katanya.

Insentif lain turut merangkumi latihan percuma program Celik Kewangan atau Celik Usahawan, bimbingan selama tiga bulan, khidmat nasihat pensijilan halal, serta tawaran pakej DuitNow QR SoundBox pada harga serendah RM114.

Sejak dilancarkan pada Mei lalu, Agro Penjaja-i telah mencatatkan jumlah deposit AgroSaudagar melebihi RM1 juta melibatkan 488 akaun, selain merekodkan 70 kelulusan pembiayaan mikro bernilai lebih RM2 juta.

Inisiatif digitalnya juga menunjukkan trend positif apabila mencatatkan 311 pengaktifan DuitNow QR Agrobank yang setakat ini meraih 14,248 transaksi bernilai lebih RM200,000, di samping pengedaran 82 unit QR Soundbox kepada peniaga.

Selain kerjasama dengan GPPPKMM, Agrobank turut mempergiat pendekatan turun padang menerusi Skim Usahawan Tani Agrobank x FAMA yang setakat ini telah melibatkan 10 sesi libat urus di pasar tani terpilih di seluruh negara.

Melalui program turun padang tersebut, bank berkenaan telah menerima sebanyak 274 permohonan pembiayaan mikro daripada peniaga tempatan dengan nilai keseluruhan mencecah RM10.6 juta. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN