Agihan pertumbuhan ekonomi perlu sampai kepada usahawan kecil - Akmal

Agihan pertumbuhan ekonomi perlu sampai kepada usahawan kecil – Akmal

AKMAL Nasrullah Mohd. Nasir, Ketua Pegawai Eksekutif Teraju, Junady Nawawi bergambar bersama usahawan selepas Sesi Libat Urus Ekosistem Pemula Teraju: Suara, Visi dan Aspirasi di Cyberview Resort & Spa di Cyberjayai, hari ini. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Kerajaan mahu agihan manfaat pertumbuhan ekonomi turut dinikmati oleh golongan usahawan kecil serta syarikat pemula bumiputera dan bukan hanya diterjemahkan melalui angka pertumbuhan semata-mata.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, jurang antara syarikat pemula dengan syarikat yang berjaya berkembang ke pasaran lebih besar juga perlu dirapatkan melalui ekosistem sokongan yang menyeluruh.

“Maka sebab itu, untuk konteks hari ini, bila kita berjumpa dengan kumpulan usahawan bumiputera daripada kumpulan startup (pemula), jika ada jurang antara sebuah startup sehingga lah mereka berjaya menembusi pasaran yang lebih luas, ruang itu perlu diisi ataupun dirapatkan jurangnya.

“Maka sebab itu, agensi macam Teraju (Unit Peneraju Agenda Bumiputera) perlu memainkan peranan lebih besar bukan sekadar menyediakan pembiayaan, malah membantu proses penskalaan syarikat menerusi pembangunan bakat, perkongsian kemahiran dan jaringan industri,” katanya dalam sidang akhbar selepas Sesi Libat Urus Ekosistem Pemula Teraju: Suara, Visi dan Aspirasi di sini, hari ini. 

Ditanya mengenai prestasi Teraju, Akmal menyifatkan agensi itu berada di landasan yang baik, namun perlu terus memperkukuh usaha dalam melahirkan lebih banyak syarikat bumiputera yang mampu berkembang dan disenaraikan di Bursa Malaysia.

Jelasnya, pelbagai kemajuan telah dicapai oleh Teraju khususnya dalam usaha membantu syarikat bumiputera meningkatkan skala perniagaan sehingga mampu bersaing pada tahap lebih tinggi.

“Bagi saya, saya dapat lihat banyak kemajuan telah dicapai oleh Teraju terutama dalam memastikan proses scaling up syarikat dapat dilaksanakan,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN